Kuwait seorang lelaki ‘terkantoi’ apabila kisah hubungan sulitnya dengan pembantu rumah diketahui isterinya dengan bantuan burung kakak tua milik keluarga itu, baru-baru ini.

Ia berlaku selepas burung berkenaan mengulangi ungkapan cinta antara lelaki itu dan pembantu rumah mereka di hadapan si isteri yang sebelum itu memang mengesyaki suaminya menjalin hubungan terlarang itu.

Namun, berikutan burung terbabit sering mengulangi ungkapan cinta itu, si isteri yakin suaminya benar-benar berlaku curang lalu membuat laporan polis.

Bagaimanapun, lelaki itu bernasib baik kerana pihak berkuasa enggan menerima kakak tua itu sebagai saksi.

Persoalannya, ini bukan kali pertama burung kakak tua membongkar kecurangan tuannya.

Pada 2006, burung itu mendedahkan hubungan sulit tuannya Suzy, dengan rakan sekerja apabila dia menjerit ‘Saya cinta kamu Gary’ di hadapan teman lelaki wanita itu yang bernama Chris.

Hakikatnya, haiwan tidak pandai berbohong seperti manusia dan dia hanya ‘melaporkan’ kembali apa yang dia dengar tanpa mengubah jalan cerita kecuali ada pihak ketiga berniat jahat yang mengajar burung itu berbohong.

Dua kisah ini memang bunyinya lucu, namun ada beberapa perkara boleh dipelajari daripadanya.

Pelajaran pertama adalah perbuatan jahat seseorang akan terbongkar juga satu hari nanti dalam cara yang mungkin kita tidak pernah terfikir walau secermat mana pun langkah ‘keselamatan’ diambil.

Kedua, adalah sifat cemburu manusia mendorong mereka menggunakan apa saja cara untuk mengesan kecurangan pasangan walaupun terpaksa bergolok-bergadai.

Mungkin kita pernah mendengar kisah si suami memasang kamera litar tertutup (CCTV) yang disorokkan di satu sudut kamar tidur bagi menangkap si isteri disyaki membawa pulang kekasih gelapnya setiap kali di suami bertugas di luar kawasan.

Ada juga kisah ‘mak datin’ mengupah penyiasat persendirian dengan bayaran ribuan ringgit untuk mengikut gerak geri suami yang disyaki menjalin hubungan asmara dengan gadis muda.

Atau kaedah paling popular ‘mencuri’ telefon bimbit si suami ketika dia tidur atau ke bilik air untuk melihat siapa senarai rakannya apabila si suami mungkin meletakkan nama kekasihnya sebagai ‘lelaki’ bagi mengaburi si isteri.

Bagaimanapun, terlalu obses dengan sifat cemburu juga memakan diri sehingga rumah tangga berantakan dan bercerai. Dalam hal ini, anak menjadi mangsa apabila ibu bapa berpisah.

Perkembangan teknologi komunikasi terutama penggunaan media sosial misalnya dibimbangi meningkatkan lagi kes perceraian.

Walaupun tiada data untuk mengaitkannya dengan situasi di negara ini tetapi ia berlaku di negara jiran, Indonesia.

Menurut pemerhati di negara itu perkembangan perkhidmatan penghantaran mesej sosial dan gaya hidup di bandar turut menyumbang kepada peningkatan kes perceraian.

Undang-Undang Perkahwinan Indonesia menetapkan syarat ketat bagi pasangan untuk bercerai, termasuk mengemukakan ramai saksi bagi membuktikan rumah tangga mereka gagal.

Bagaimanapun, perkembangan teknologi komunikasi mengubah keadaan.

Peguam cerai, Fernandes Raja Saor berkata, dengan kemudahan telefon pintar, pasangan tidak lagi perlu mengemukakan saksi di mahkamah.

Katanya, mereka boleh menggunakan ‘screenshot’ perbualan mesej WhatsApp untuk menunjukkan si suami atau isteri curang.

Data yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Agama Jakarta menunjukkan petisyen untuk bercerai semakin meningkat, daripada 9,654 pada 2012 kepada 12,770 pada 2014 dan 12,792, tahun lalu.

Di Malaysia seramai 92,678 pasangan di seluruh negara mendaftarkan perceraian masing-masing antara 2012 dan 2014 dan kebanyakan mereka berkahwin dalam tempoh kurang lima tahun.

Angka itu kedengaran membimbangkan kerana statistik menunjukkan peningkatan pendaftaran perceraian berlaku setiap tahun sepanjang tempoh berkenaan.

Kita tidak mahu trend ini berterusan dan amat malang jika bercerai hanya kerana seekor burung.

Penulis adalah Pengarang Berita Edisi Hujung Minggu Metro Ahad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 5:18 AM