RONALDO (kiri) berentap dengan pemain Athletic Bilbao, Mikel San Jose, minggu lalu.

Madrid: Cristiano Ronaldo memang berang dengan rekod terkininya di depan gol tetapi tidak bimbang bila dia akan menjaringkan gol berikutnya, kata jurulatih Real Madrid Zinedine Zidane semalam.

Menjaringkan hanya empat gol dalam sembilan perlawanan semua kejohanan, penyerang terbanyak Real sepanjang zaman itu berdepan permulaan terburuknya sejak menyertai kelab juara Sepanyol dari Manchester United pada 2009.

Ronaldo gagal menjaringkan gol sewaktu Real membelasah Legia Warsaw 5-1 serta ketika kemenangan ke atas Athletic Bilbao 2-1 dengan pemain gantian Alvaro Morata menjaringkan gol kemenangan untuk melonjakkan Real ke puncak La Liga.

“Saya tidak fikir dia bimbang tapi mungkin marah. Dia mahu menjaringkan banyak gol dan itu sesuatu yang normal,” kata Zidane pada sidang media menjelang kunjungan Real ke Alaves.

Ronaldo menjadi pilihan Ballon d’Or selepas memenangi Liga Juara-Juara bersama Real dan Kejuaraan Eropah bersama Portugal.

Dia juga menjaringkan lebih daripada 50 gol buat Real untuk musim keenam berturut-turut.

“Dia begitu unik kerana apa yang sudah dilakukan dan apa yang akan dilakukannya. Dia meletakkan tahap begitu tinggi sehinggakan apabila dia tidak menjaringkan gol ramai yang terkejut,” kata Zidane.

“Dia perlu menerima hakikat itu, begitulah nasib pemain luar biasa sepertinya.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 5:15 AM