Oleh Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my

Walaupun diuji dengan pemergian ibu tercinta pada 11 Disember lalu, Awie tetap kuatkan semangat untuk persiapan Konserts Wings Menakhluk Kosmos bermula 27 Disember ini.

Waktu sama, Awie sibuk dengan pementasan Takhta 3 Ratu di Istana Budaya sejak 14 Disember lalu. Malah, untuk tempoh beberapa bulan ini sehingga awal 2015, jadualnya padat dengan persembahan.

Untuk Konserts Wings Menakhluk Kosmos, kumpulan rock hebat itu bakal menggegarkan tiga negeri utama iaitu Pulau Pinang, Terengganu dan Melaka.

Kata Awie, segala perancangan akan diteruskan kerana tidak mahu menghampakan semua yang terbabit. Mereka sudah korbankan masa dan tenaga untuk penganjuran konsert itu.

Walaupun ketika ini sibuk dengan pementasan Takhta 3 Ratu, Awie cuba fokus memberi komitmen terbaik untuk konsertnya.

Latihan tetap diteruskan seperti biasa, cuma terpaksa berehat untuk beberapa hari bagi memberi laluan kepada urusan keluarga.

Apatah lagi Wings sudah sebulan berlatih bersama untuk memantapkan persembahan demi konsert. Isu soal tarik diri tidak timbul dalam diri Awie walaupun berdepan ujian besar.

"Kami (Wings) hanya akan gunakan seorang pemuzik undangan selaku pemain keyboard, selebihnya anggota asal.

"Selain memainkan lagu popular Wings yang rata-rata peminat tahu, kami akan persembahkan buat kali pertama secara langsung lagu dari album Menakluk Kosmos," katanya.

Sebelum persembahan pertama dijangka berlangsung 27 Disember ini di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang, Wings lebih banyak meluangkan masa di studio latihan United Studio milik Joe di Setapak.

Ia bagi memastikan persiapan rapi kerana setiap kali konsert, mereka akan meluangkan masa sehingga tiga jam menghiburkan penonton dan peminat.

Selama tempoh itu, mereka memainkan lagu hebat sejak era 1980-an hingga 1990-an seperti Sejati, Misteri Mimpi Syakila, Taman Rashidah Utama dan Peronda Jaket Biru.

Lagu lain pula daripada album Menakluk Kosmos seperti Ingatkan Dia, Peti Pandora Mu, Raja Segala Duri, Penanti dan Segitiga Piramida.

Melihat cara promosi, sekali gus mengingatkan kembali cara lama artis mempromosi album dengan mengadakan konsert selepas album dilancarkan.

Tradisi lama yang hampir pupus di kalangan penggiat muzik tanah air ini bakal menjadi pengubat rindu pada mereka yang pernah melaluinya.

Kata Awie, mereka tidak boleh lagi mengharapkan syarikat rakaman melakukan promosi, apatah lagi dengan penghasilan album yang semakin 'sakit'.

"Kami mahu kembalikan nostalgia dan budaya itu supaya orang lain akan lebih bersemangat. Bukan saja dari segi bunyi, malah cara persembahan bertenaga seperti mula dulu," katanya.

Ditubuhkan sejak 30 tahun lalu, selaku pemain dram, Black akui kenangan membuat persembahan di depan lebih 70,000 peminat pada penghujung 1980-an sebagai memori paling indah.

Katanya, dulu persembahan mereka bukan mengambil masa sejam dua, sebaliknya tiga jam tanpa henti.

"Tak tahu dari mana dapat tenaga waktu itu. Menang tenaga itu akan datang sendiri apabila kita disaksikan puluhan ribu penonton menjerit memberi sokongan," katanya.

Sementara Joe selaku gitaris berkata, Wings akan muncul secara solo tanpa iringan pemuzik tambahan, kecuali pemain keyboard untuk Menakluk Kosmos kali ini.

"Penjualan album yang memberangsangkan walaupun diganggu jenayah cetak rompak membuatkan Wings bersemangat untuk menemui peminat.

"Kami bawakan buah tangan terbaru di samping menjadikan konsert dengan nama Menakluk Kosmos ini sebuah sejarah dan tanda ingatan buat peminat yang sentiasa setia dalam perjalanan seni kami," katanya.

Selepas di Seberang Jaya, Pulau Pinang, Wings akan bergerak ke Stadium Tertutup, Kuala Terengganu pada 9 Januari pula sebelum menutup tirai jelajah Menakluk Kosmos di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 31 Januari 2015.

Tiket konsert ini dijual pada harga serendah RM75, manakala bagi pembeli tiket berharga RM390 mereka berpeluang mendapatkan cenderamata khas, beramah mesra dan makan malam bersama Wings.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Disember 2014 @ 5:01 AM