PANEL meter yang kemas dan mudah dilihat.
ENJIN Duramax 2.8L DOHC VGT berkuasa.
MENEMPUH laluan lasak menuju ke Jerangkang, Pahang.
RUANG dalaman yang tampak mewah dan selesa.
CHEVROLET Colorado tidak mengecewakan ketika memecut di jalan raya.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Bercerita mengenai pikap, ramai yang masih skeptikal mengenai fungsi pacuan empat roda (4X4) dalam kegunaan harian di bandar berikutan tiada laluan lasak ekstrem yang perlu ditempuhi sama ada untuk ke pejabat atau pulang ke rumah.

Bergerak seiring dengan arus kemodenan, pikap bukan lagi digunakan di laluan balak atau menerokai hutan belantara, tetapi sifatnya kini seakan kepada kenderaan sedan yang maskulin.

Pelancaran trak pikap Chevrolet Colorado oleh Naza Quest Sdn Bhd, selaku pengimport dan pengedar kenderaan jenama berkenaan di negara ini membuktikan segmen pikap tetap menjadi pilihan terutama penduduk di Sabah dan Sarawak.

Seisi pandu uji selama dua hari bermula dari Shah Alam ke Pekan dengan mengharungi semua keadaan jalan raya sama ada laluan lasak, lebuh raya dan jalan biasa membuktikan pikap yang dikeluarkan hari ini bukan sama seperti 20 tahun lalu.

Permulaan seisi pandu uji memerlukan penulis menempuh kesesakan di Lebuhraya Persekutuan sehingga ke Subang memberi gambaran awal enjin 2.8L Duramax turbo diesel VGT memang tidak mengecewakan.

Ditambah pula dengan gabungan kuasa turbo diesel, kesesakan diharungi dengan mudah apabila Chevrolet Colorado bergerak lancar tanpa sebarang rasa tersenggut atau terpaksa mengerah pedal secara kasar untuk menggerakkan jentera seberat lebih tiga tan ini.

Sebaik memasuki lebuh raya, kuasa pecutan terus dirasai. Ternyata 193 kuasa kuda (hp) dengan daya kilas sehingga 500Nm beraksi cemerlang terutama ketika menempuh laluan berbukit di sepanjang Lebuhraya Karak.

Walaupun fizikal Colorado yang besar dan tinggi, namun tiada rasa terbuai manakala pengendalian stereng juga jitu. Inilah pengalaman hampir 100 tahun Chevrolet dalam teknologi pikap.

Teknologi Amaran Perlanggaran Hadapan (FCA) yang mengeluarkan bunyi bip dan lampu amaran sekiranya jarak kenderaan hadapan terlalu dekat memastikan pemandu lebih berwaspada terhadap sebarang kemungkinan.

Malah, ciri keselamatan seperti ‘Lane Departure Warning’ (LDW) dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) yang kebiasaannya hanya ada pada kereta premium adalah ciri standard bagi varian High Country.

Ciri keselamatan termaju ini membolehkan Chevrolet Colorado menerima penarafan lima bintang ASEAN-NCAP. Tidak hanya melalui pemanduan, Chevrolet Colorado yang hadir dengan reka bentuk dan beberapa ciri teknologi dipertingkatkan, membawa perubahan baru dan tidak mustahil menjadi penanda aras terhadap segmen pikap di negara ini.

Rekaan luarannya yang ‘sado’ menampilkan gaya warisan trak pikap Amerika sejati berbanding jenama lain yang turut gah di benua Eropah.

Paling ketara, Chevrolet Colorado boleh dilihat melalui bentuk hadapan yang sporty dengan gabungan jeriji serta perumah lampu baru bersama jalur lampu siang LED.

Chevrolet Colorado juga terbukti lasak apabila wakil media sempat menyusuri laluan lasak di Jerangkang yang terletak kira-kira 30 kilometer (km) dari Maran, Pahang.

Walaupun bergaya premium, namun Chevrolet Colorado masih kekal sebagai jentera lasak ketika menempuh laluan tanah merah dan anak sungai.

Terdahulu, menurut Ketua Syarikat Naza Quest Sdn Bhd, Mohd Farid Rosli berkata, pihaknya menyasarkan 1,700 unit jualan pada tahun depan bagi model berkenaan.

Katanya, dua kapasiti enjin berbeza ditawarkan dan yakin bakal menggugat pasaran pikap di negara ini.

“Sebelum ini, Chevrolet hanya mempunyai Colorado dengan kapasiti enjin 2.8 liter dengan penguasaan pasaran bagi segmen itu antara lapan sehingga 15 peratus.

“Pengenalan model baharu ini termasuk enjin 2.5L membolehkan kami menguasai pasaran segmen pikap 2.5L ke bawah antara 75 sehingga 80 peratus,” katanya.

Dengan tanda harga atas jalan sekitar RM133,127.48 termasuk insurans, Chevrolet Colorado memungkinkan kehadiran lebih ramai penggemar jentera lasak berjiwa Amerika di atas jalan raya di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2016 @ 5:03 AM