Syahid Sokri
am@hmetro.com.my


Sungai Petani: Pengawal keselamatan tidak sempat memulakan tugas di tempat baru apabila maut dalam kejadian langgar lari di KM47, Jalan Alor Setar-Butterworth, Kuala Muda, dekat sini.

Allahyarham Ali Bakar, 64, menunggang motosikal untuk bertugas di sebuah kilang, sebelum dikatakan dilanggar berhampiran Taman Sinar Mentari, Bedong, pada 6.45 pagi ini.

Anaknya, Nor Zamri, 39, berkata, dia menerima panggilan kemalangan itu daripada jiran yang lalu di tempat kejadian pada kira-kira 7 pagi.

Katanya, dia kemudian bersama ahli keluarga bergegas ke Hospital Sultan Abdul Halim berikutan diberitahu jenazah ayahnya dibawa ke pusat perubatan itu.

“Ketika keluar dari rumah, arwah ayah kelihatan gembira untuk bekerja di tempat baru,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sejahtera Rakyat, Sungai Tok Pawang, Bedong, dekat sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2016 @ 12:00 PM