Pemain bolasepak pasukan Kedah melakukan pemeriksaan barang-barang sebelum menaiki pesawat Firefly di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas untuk ke perlawanan akhir Piala Malaysia menentang pasukan Selangor pada Ahad ini. FOTO AMRAN HAMID
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


Alor Setar: Siaran langsung perlawanan akhir Piala Malaysia antara pasukan Kedah dan Selangor akan disiarkan di skrin besar di Dataran Alor Setar, Ahad ini.

Ahli Majlis Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Suhaidi Shukri berkata, pihaknya bekerjasama dengan syarikat Levent Corporation Sdn Bhd, Sze Chan Music dan Knight Drink dalam membawakan program tayangan itu.

Katanya, pihak KFA berterima kasih kepada syarikat yang sudi menaja tayangan itu yang dibuat khusus bagi memberi peluang kepada peminat dan penyokong bola sepak Kedah yang tidak berpeluang hadir di Stadium Shah Alam.

"Saya menyeru semua peminat dan penyokong bola sepak hadir beramai-ramai di Dataran Alor Setar berdepan Masjid Zahir bagi menonton kemuncak Piala Malaysia dan memberi sokongan kepada pasukan kita secara santai.

"Datanglah awal supaya tidak bersesak-sesak dan pilih tempat yang sesuai bagi menyaksikan tayangan yang dipancarkan di skrin berukuran 3X6 meter," katanya pada sidang media selepas menemui pemain Kedah yang berlepas ke Subang di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di sini, petang tadi.

Suhaidi berkata, dataran itu dipilih kerana lokasinya yang strategi serta luas dan mampu menampung jumlah hadirin sehingga 10,000 orang.

"Saya menasihati orang rama menjaga etika dan keselamatan diri masing-masing sepanjang menonton perlawanan akhir ini selama 90 minit kerana tujuan kita hanya satu iaitu memberikan sokongan padu kepada pasukan Kedah.

"Bagi tujuan keselamatan, kita turut bekerjasama dengan

pihak berkuasa dan jawatankuasa penganjur membuat kawalan dan pemantauan," katanya sambil berharap kemenangan berpihak kepada skuad Kedah atau 'Helang Merah' itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 6:36 PM