MOHD Fadly (dua kanan) menunjukkan minyak masak yang dirampas. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my


Parit Buntar: Tindakan pemilik premis menyembunyikan 210 kilogram (Kg) minyak masak, mengundang padah apabila kedainya di sini diserbu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Parit Buntar, Mohd Fadly Edros berkata, serbuan 12.30 tengah hari itu susulan pihaknya menerima aduan dari orang awam mengenai tindakan pemilik premis terbabit yang menyembunyikan minyak masak.

Menurutnya hasil pemeriksaan di stor premis terbabit mendapati pemiliknya menyembunyikan 210 Kg minyak masak iaitu 42 botol (5 Kg) yang ditemui dalam stor termasuk dua botol ditemui disorok di bawah kaunter premis.

"Kesemua minyak yang disorok itu dengan nilai rampasan RM576.90 telah dirampas pihak kami untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyembunyikan barang kawalan dengan tujuan menahannya daripada dijual di pasaran.

"Sabit kesalahan bagi perseorangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta, atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala denda RM2 juta bagi pertubuhan perbadanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 5:47 PM