Sebanyak 3,732 pusat peperiksaan SPM dibuka di seluruh negara tahun ini. - Foto Fail
BERNAMA

Putrajaya: Seramai 434,535 calon mendaftar menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, peperiksaan bertulis SPM 2016 adalah pada 7 November hingga 6 Disember ini.

Sebanyak 3,732 pusat peperiksaan akan dibuka di seluruh negara dan 32,220 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar.

Seramai 377,194 calon SPM 2016 atau 86.8 peratus adalah calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

Calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain Kementerian Pendidikan seperti Maktab Rendah Sains MARA adalah 9,094 orang atau 2.1 peratus.

Seramai 7,931 calon (1.8 peratus) adalah calon sekolah menengah agama negeri, sekolah swasta yang berdaftar dengan kementerian 12,847 calon (3 peratus), persendirian 25,713 calon (5.9 peratus) manakala sekolah menengah agama rakyat 1,756 calon (0.3 peratus).

Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun daripada laman web Lembaga Peperiksaan di alamat http://lp.moe.gov.my.

Calon diingatkan supaya membawa kad pengenalan ke pusat peperiksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 4:08 PM