Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Ipoh: Wanita hamil enam bulan diberkas bersama suaminya kerana melarikan dua gelang emas dari kedai emas di Kampung Rapat, di sini.

Wanita berusia 22 tahun itu dan suaminya berusia 36 tahun diberkas polis kira-kira 15 minit selepas kejadian dilaporkan, pada 11.10 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata wanita itu dipercayai berpura-pura ingin membeli barang kemas manakala suaminya menunggu dalam kenderaan di luar premis.

"Suspek perempuan itu mencuba dan memakai dua gelang emas. Dia kemudian bertanyakan harga gelang berkenaan.

“Ketika pekerja kedai terbabit sedang mengira harga dengan kalkulator, wanita itu tiba-tiba meluru keluar dengan membawa kedua-dua gelang emas itu," katanya, di sini, hari ini.

Menurutnya, suspek kemudian dilihat memasuki Toyota Wish yang dipandu suaminya.

"Pasukan polis yang mendapat maklumat mengenai kejadian menjalankan operasi mengesan kenderaan dinaiki suspek.

"Pasangan terbabit diberkas di Taman Desa Pakatan, pada 11.30 pagi. Pemeriksaan mendapati mereka berasal dari Seri Manjung, dekat sini," katanya.

Chang Keong berkata, semakan mendapati wanita itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala suaminya memiliki tiga rekod jenayah membabitkan dadah dan samun.

"Kenderaan dinaiki suspek juga dipercayai kenderaan klon yang diseludup dari negara jiran.

"Polis sedang dalam proses mendapatkan perintah tahanan reman hari ini dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 2:12 PM