DZEKO (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
AFP

Milan: Edin Dzeko meraih gol kesembilan dan ke-10 liga musim ini ketika AS Roma terus menekan pendahulu Juventus dengan kemenangan bergaya 3-1 di Sassuolo, awal pagi semalam.

Juventus menerima insentif tambahan untuk menjarakkan kedudukan di depan pencabar scudetto apabila AC Milan, yang mengejutkan juara bertahan itu 1-0 hujung minggu lalu untuk merapatkan jurang kepada dua mata, kecundang 0-3 kepada Genoa, kelmarin.

Roma mencetus kekalahan kedua terbesar Sassuolo di laman sendiri musim ini sekalipun kemenangan ketujuh liga itu dicemari apabila Alessandro Florenzi dipercayai mengalami kecederaan ligamen lutut yang teruk.

Sekalipun Juventus mengesahkan kehebatan mereka dengan kemenangan 4-1 di laman sendiri ke atas Sampdoria, yang menyaksikan Mario Mandzukic menyumbat gol sulungnya musim ini dan pertahanan Giorgio Chiellini meledak dua gol, Roma kekal dua mata di belakang.

Kemenangan Napoli ke atas Juve malam esok akan menyaksikan Roma melonjak ke tangga teratas jika mereka menundukkan Empoli di gelanggang lawan, namun Dzeko menolak tanggapan mereka kini musuh utama Juve.

“Apa yang kami fikirkan sekarang adalah memenangi perlawanan kami berikutnya, tapi kami gembira dengan kemenangan ini.”

Napoli menggunakan kesempatan hasil kepincangan Milan untuk melonjak ke tangga ketiga empat mata di belakang menjelang pertembungan kedua-dua pasukan di Turin malam esok.

Berikutan kemenangan 2-0 di laman sendiri ke atas Empoli, dengan Dries Mertens memecah kebuntuan jaringan enam minit selepas rehat, anak buah Maurizio Sarri kini hanya dua mata di belakang Roma.

“Skuad ini bertindak baik, jika anda ambil kira kami kehilangan penjaring gol terbanyak pada musim panas lalu dan penggantinya September lalu,” kata Sarri merujuk kepada perpindahan Gonzalo Higuain ke Juventus dan kecederaan lutut teruk dialami penggantinya, Arkadiusz Milik.

Milan merudum ke tangga keempat dengan Lazio melonjak satu anak tangga ke tangga kelima selepas membenam Cagliari 4-1 yang termasuk dua gol menakjubkan daripada Ciro Immobile dan gol terakhir hebat sumbangan Felipe Anderson.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 9:47 AM