SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. FOTO ihsan Istana Perak
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Ipoh: Ulang tahun Keputeraan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah akan diraikan pada hari Jumaat, minggu pertama November setiap tahun.

Titah baginda berhubung perkara itu diisytihar oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan melalui satu kenyataan di sini hari ini.

"Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak ingin memaklumkan berkaitan titah Sultan Nazrin selepas dipertimbangkan dengan teliti dan dengan persetujuan Majlis Mesyuarat Dewan Negara Perak kali ke-164 yang bersidang pada 20 November 2015, bahawa tarikh perayaan Ulang Tahun Baginda mulai 2016 dan tahun-tahun seterusnya hendaklah diraikan pada Jumaat minggu pertama bulan November.

"Pekara ini diambil tindakan semasa pewartaan Hari-Hari Kelepasan Am Negeri Perak bagi tahun 2016 melalui pemberitahuan Warta Kerajaan No 3653 bertarikh 31 Disember 2015," katanya.

Abdul Puhat berkata, sehubungan itu, merujuk kepada warta berkenaan adalah dimaklumkan Hari Keputeraan Sultan Perak pada 2016 adalah pada 4 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 10:30 PM