BOT tunda (gambar kecil) bersama baj yang ditemui. FOTO ihsan APMM
Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@hmetro.com.my


Bintulu: Bot tunda bersama baj mengandungi minyak kelapa sawit bernilai RM14.99 juta yang dilaporkan dirampas pada 25 Oktober ditemui di perairan Bintulu, kira-kira 30 batu nautika dari Pelabuhan Bintulu di sini, petang tadi.

Bot tunda Ever Ocean Silk dan baj Ever Giant ditemui bersama 2,499 tan metrik sawit pada 3.25 petang oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bintulu.

Pengarah Maritim Bintulu, Aminuddin Abdul Rashid berkata, 10 kru bot turut ditemui dalam keadaan selamat.

Menurutnya, bot berkenaaan bersama baj sudah ditunda ke pelabuhan Bintulu.

"Siasatan penuh masih dilakukan termasuk mengambil keterangan semua mangsa," katanya.

Bot tunda berkenaan bersama baj dilaporkan dirampas oleh sekumpulan individu yang menaiki dua bot pada 8.30 malam 25 Oktober kira-kira 62 batu nautika dari pelabuhan Bintulu.

Perompak berkenaan yang bersenjatakan parang turut merampas alat komunikasi dan barangan peribadi milik kru kapal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 1:03 AM