Empat lelaki yang dicari polis bagi membantu siasatan kes tembak di Balingian, Mukah. - Foto Ihsan PDRM
BERNAMA

Sibu: Polis Sarawak sedang mengesan empat lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tembak mati seorang lelaki di Sungai Arip, Balingian, Mukah, dua hari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Datuk Dev Kumar berkata, siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui latar belakang lelaki berkenaan dan kaitan mereka dengan sebuah syarikat perladangan.

"Gambar dan nama mereka sudah diedarkan kepada media untuk disiarkan dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat membantu polis mengesan mereka.

"Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor sudah memberi komitmen bahawa siasatan dijalankan secara telus tanpa menyebelahi mana-mana pihak," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, lapan lelaki ditahan sejak kejadian itu dan kini direman sehingga 2 November untuk membantu siasatan.

Menurutnya, tiga daripada mereka berumur antara 27 hingga 38 tahun ditahan ketika datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah untuk membuat laporan mendakwa kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dinaiki ditembak penduduk kampung di Sungai Arip.

Dev Kumar berkata pemeriksaan polis mendapati ada beberapa kesan disyaki tembakan pada kereta dan cermin kereta pecah.

Katanya, lima lagi berumur antara 18 hingga 65 tahun termasuk tiga Tuai Rumah ditahan semalam, oleh sepasukan anggota dari IPK Sarawak dan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Mukah menjalankan siasatan di Sungai Arip untuk mengenal pasti penduduk rumah panjang yang berada di tempat kejadian.

"Dua laras senapang patah dan beberapa peluru senapang patah dirampas. Turut dirampas beberapa barang lain berkaitan dengan kes ini," katanya.

Menurut Dev Kumar, apa yang sebenarnya berlaku di tempat kejadian masih belum jelas namun apa yang diketahui setakat ini seorang penduduk kampung melepaskan tembakan senapang patah dan terkena badan mangsa.

Pada 5.35 petang Isnin lalu, polis Sibu dimaklumkan orang awam mengenai kejadian tembak itu dan pasukan IPD Tatau yang sampai di tempat kejadian kira-kira 8 malam, menemui mayat lelaki memegang parang, tertiarap di atas jalan di simpang masuk ke Ladang Sungai Arip.

Mangsa yang mempunyai kesan luka pada kepala dan badan dipercayai akibat tembakan dan tetakan dengan benda tajam dikenali sebagai Fabian Janti Lebau, 26, berasal dari Miri.

Siasatan awal polis mendapati sekumpulan lelaki menggunakan beberapa kenderaan masuk ke satu jalan menghala Ladang Sungai Arip pada 5.30 petang hari sama dan berhenti di satu halangan yang didirikan penduduk beberapa rumah panjang di kawasan itu.

Halangan itu didirikan sejak awal bulan ini untuk menghalang kenderaan syarikat perladangan dari masuk ke ladang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 6:44 PM