Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) membuat keputusan menggantung lesen pelumba Terengganu Cyling Team (TSG) Mohd Zamri Saleh (gambar) selama tiga bulan.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PKBM Datuk Amarjit Singh Gill yang turut memberitahu seorang lagi pelumba, Shahrul Mat Amin dilepaskan dengan amaran.

Penggantungan tonggak TSG berusia 33 tahun itu bermula kelmarin sehingga 23 Januari tahun depan susulan kenyataan di laman sosial Facebook pada Jun lalu berkaitan dengan hadiah kemenangan perlumbaan Jelajah Malaysia 2013 dan 2015.

Zamri yang kini berada di Emiriah Arab Bersatu (UAE) mewakili TSG di Tour of Sharjah, tidak dibenarkan menyertai sebarang perlumbaan dalam dan luar negara selain tidak boleh didaftarkan untuk pasukan berstatus benua pada tahun depan.

“Proses pendengaran sudah dijalankan pada awal bulan ini. Semua faktor sudah diambil kira termasuk keterangan semasa pendengaran membabitkan tiga panel.

“Jawapan yang diberikan Zamri tidak memuaskan hati panel malah ada yang menyimpang. Jadi kami mendapati wujud niat tidak baik terhadap PKBM,” jelas Amarjit yang juga Naib Presiden badan induk berbasikal negara itu.

Menjelaskan tiada penggantungan terhadap Shahrul, Amarjit berkata jawapan diberikan terhadap soalan dikemukakan panel adalah jelas dan mendapati pelumba berkenaan tidak mempunyai niat buruk.

Zamri bagaimanapun boleh mengemukakan rayuan terhadap penggantungan berkenaan dalam tempoh 14 hari.

Situasi berkenaan dilihat menjejaskan peluang Zamri yang berada dalam program fasa dua program Kita Juara terutamanya dalam menilai prestasinya kerana tidak boleh beraksi dalam sebarang kejohanan kompetitif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 12:00 PM