Reuters

Austin, Amerika Syarikat: Pendahulu kejuaraan Formula Satu, Nico Rosberg (gambar, kiri) enggan dibelenggu kebimbangan mengenai reliabiliti ketika dia bersedia berdepan ‘mata penamat’ pertamanya di Mexico hujung minggu ini.

“Ia di bawah kawalan saya jadi saya tidak kisah mengenainya,” kata pemandu Mercedes itu selepas berakhir di tangga kedua di belakang rakan sepasukan Lewis Hamilton pada Grand Prix Amerika Syarikat, Ahad lalu.

Rosberg meninggalkan litar Austin 26 mata di depan juara dunia tiga kali Hamilton, bermakna tiga perlumbaan terakhir di Mexico, Brazil dan Abu Dhabi berpotensi menjadi penentu kejuaraan.

Kemenangan di Bandaraya Mexico Ahad ini, ditambah kegagalan Hamilton mengutip mata, akan membolehkan pemandu Jerman itu menikmati pendahuluan dengan jurang 51 mata.

“Sudah tentu saya sedar mengenainya, ia satu pengiraan jelas yang mana setiap orang memberitahu saya dan ia hebat... tapi bagi saya pendekatan yang saya gunakan mudah,” ujar Rosberg.

“Hanya perlu memenangi perlumbaan dan menumpukan apa yang perlu saya hadapi sepanjang hujung minggu.”

Ketika Rosberg, yang menang tiga perlumbaan terakhir 2015 termasuk Mexico, menikmati kempen tanpa sebarang masalah, Hamilton pula dibelenggu isu reliabiliti.

Pemandu Britain itu menyatakan dia terpaksa berhati-hati setiap pusingan Ahad lalu, dihantui dengan kemungkinan satu lagi kegagalan enjin seperti yang menyebabkannya kehilangan 25 mata di Malaysia.

“Dalam kokpit apa yang saya fikirkan adalah menamatkan perlumbaan hingga ke akhirnya,” jelas pemandu Britain itu. “Setiap pusingan saya memikirkan mengenai sesuatu mungkin terjadi.”

Ketua permotoran Mercedes, Toto Wolff menjangkakan minggu yang ‘penuh tekanan’ dengan pasukannya berharap pemandu mereka boleh bersaing merebut kejuaraan tanpa sebarang masalah mekanikal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 11:53 AM