MAJLIS pelancaran Friso Gold baru dengan teknologi LocNutri.
SESI temu bual oleh pengacara bersama (dari kiri) Indra, Ashlee, Liyana dan Wayne.
LIYANA mengambil berat mengenai pemakanan anaknya.
Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my


Ramai ibu bapa mempunyai pengetahuan mendalam mengenai kepentingan makanan seimbang dan berkhasiat dalam memastikan pertumbuhan sihat anak mereka, selain membantu melindungi si kecil daripada jangkitan.

Bagaimanapun, masih ramai yang mengambil mudah mengenai penyediaan dan pemilihan makanan yang penting untuk melancarkan sistem penghadaman serta mengelak masalah sembelit anak mereka.

Sistem penghadaman yang lancar penting kerana ia berfungsi meleraikan makanan kepada saiz paling kecil untuk diserap tubuh dan membekalkan segala nutrien penting.

Cara penyediaan makanan penting kerana ia dapat memastikan nutrien yang ada tidak rosak dan boleh diserap dengan sempurna. Ini bermakna, penghadaman yang lancar membantu kanak-kanak menyerap zat dalam makanan, seterusnya membantu tubuh menjadi sihat.

Namun, bukan semua makanan mempunyai nutrien yang sama selain kandungan serat yang berbeza. Malah, kandungan nutriennya turut dipengaruhi cara penyediaan makanan itu.

Sesetengah makanan lebih sukar dihadam terutama apabila ia melalui proses masakan yang menjadikannya sukar dimakan, misalnya apabila digoreng hingga hilang segala nutrien serta bentuk fizikalnya turut mengalami perubahan.

Menurut perunding diet Indra Balaratnam, pertahanan badan amat penting bagi memastikan tumbesaran kanak-kanak yang sihat dan ia bergantung kepada nutrisi yang cukup melalui pemakanan seimbang.

Nutrien yang diserap dengan baik membantu tubuh menangkis serangan jangkitan dan melindungi anak-anak.

“Peranan sistem penghadaman amat penting kerana ia memastikan pertumbuhan sihat kanak-kanak.

“Sesetengah ibu mengambil jalan mudah untuk menyediakan makanan dan ada yang membeli makanan segera atau hanya perlu dipanaskan.

“Namun apa yang penting pilihan makanan perlu betul selain memastikan kandungan nutrien mencukupi dalam setiap hidangan,” katanya pada pelancaran LocNutri, iaitu teknologi terbaru formulasi bagi Friso Gold.

Teknologi itu ialah satu inovasi bagi memastikan susu yang diproses tidak melalui pemanasan secara berlebihan hingga menghilangkan nutrien penting demi memelihara kesihatan sistem penghadaman anak-anak.

Turut hadir, Pengarah Urusan Dutch Lady Milk Industries Berhad Saw Chooi Lee, Pengarah Pemasaran Dutch Lady Milk Industries Berhad Ashlee Ng, pelakon, Liyana Jasmay serta Wayne Chua.

Pengambilannya diikuti pemakanan seimbang mampu membekalkan nutrien cukup untuk kanak-kanak membesar, pada masa sama memelihara kesihatan penghadaman yang baik.

Menurut Indra, untuk memastikan anak-anak sihat, nutrien daripada makanan yang disediakan perlu diserap secukupnya.

Namun apabila sistem penghadaman terjejas akibat masalah sembelit, bukan saja ia menyebabkan kanak-kanak meragam, mereka juga tidak dapat nutrien sepatutnya daripada makanan yang diambil.

“Sebenarnya banyak masalah sembelit boleh dihindar dengan mudah sekiranya dari awal lagi, ibu mementingkan pengambilan makanan yang segar dan dimasak dengan cara betul, bagi memudahkan ia dimakan selain mengekalkan nutrisinya.

“Begitu juga dengan susu yang menjadi hidangan lengkap untuk tumbesaran kanak-kanak dan mengandungi semua nutrien.

“Namun cara susu itu disediakan juga perlu betul kerana sekiranya melalui proses yang menyebabkan ia dipanaskan secara berlebihan, kandungan nutrien hilang selain menyebabkan ia lebih sukar diserap,” katanya.

Menurut Indra, makanan dalam bentuk paling hampir dengan keadaan asalnya lebih mudah dimakan dan diserap segala kandungan nutriennya berbanding sekiranya ia disediakan dengan cara yang merosakkan kandungan zatnya.

Katanya, keadaan itu dapat dilihat melalui cara memasak ayam apabila ayam goreng sukar dihadam berbanding yang dikukus.

“Cara kukus paling baik dalam mengekalkan nutrien asal selain membantu perut menghadam makanan itu.

“Menggoreng mengubah bentuk asal makanan selain menghilangkan nutrisi dan ia menjadikannya susah dihadam. Kebanyakan kita lebih mementingkan rasa berbanding mengekalkan kandungan nutrien dalam setiap makanan,” katanya.

Indra berkata, cara masakan yang berbeza mengubah kandungan nutrien dalam makanan dan ibu perlu menentukan cara masakan terbaik untuk mengekalkan kandungan zat dalam setiap hidangan anak-anak mereka.

Katanya, menyediakan sendiri hidangan terutama untuk anak kecil lebih digalakkan kerana dengan cara itu, ibu boleh menentukan sendiri cara masakan dan mengekalkan zat dalam setiap makanan.

Sementara itu, Liyana yang juga ibu kepada dua anak berkata, dia amat mementingkan pengambilan nutrien untuk anak-anaknya bagi memastikan kesihatan mereka terjamin dan dapat membesar dengan ceria.

“Anak saya kini pada usia sedang belajar banyak perkara dan saya mahu dia berada dalam kesihatan terbaik supaya dapat mempelajari perkara baru dengan lebih ceria.

“Jika dia mengalami masalah ketidakhadaman, ia akan mengganggu tumpuannya. Oleh itu, saya akan sediakan makanan yang segar dan kaya serat, selain menggalakkannya minum air dengan banyak,” katanya.

Pada masa sama, Chua turut mengakui pemakanan sihat dan seimbang penting kerana ia membantu memastikan kesihatan anak-anak berada pada tahap terbaik.

Katanya, pada mulanya anak-anaknya mengalami masalah kembung perut disebabkan penghadaman tidak lancar, namun sebaik dia menyedarinya dia cuba mengatasi perkara itu.

“Kini saya amat memberi perhatian kepada pengambilan makanan setiap hari dan memastikan ia mudah dihadam.

“Selepas saya cuba mengubahnya dengan memberi makanan mengandungi kandungan serat serta mengelak makanan yang sukar dihadam, anak saya sudah tidak lagi mengalami masalah kembung perut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 11:47 AM