FOTO papar pertemuan antara arwah dan anak sulungnya pada 16 Oktober.
Asrizal Aris
asrizal.aris@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pesakit barah usus tahap empat yang ditunaikan hasrat untuk bertemu anak sulungnya, 16 Oktober lalu, kembali ke rahmatullah tengah malam tadi.

Allahyarham Mohd Raitul Afthal Zainal Abidin, 27, menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur, 12.20 tengah malam.

Sebelum ini, hasrat arwah untuk bertemu Muhammad Raykal Hakimi, 6, termakbul apabila bekas isterinya membawa anak sulung mereka itu ke kediamannya di Kuarters KTM.

Hasrat ingin bertemu dengan anak sulungnya itu yang dijaga bekas isteri, Aida Kosma Ahmad Serbawi, menjadi viral di Facebook, pada pertengahan Oktober.

Sementara itu, jenazah Raitul Afthal dibawa ke kampung halamannya di Kampung Pinang, Kemunting, Taiping, Perak dan dikebumikan selepas Zohor, hari ini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Siti Norsyahirah Abdullah, 23, yang sedang hamil anak pertama mereka yang dijangka bersalin seminggu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 10:36 AM