SEKUMPULAN penyokong menanti permulaan kempen Hillary di Kolej Saint Anselm di Manchester, New Hampshire, semalam.
AP

Tampa, Florida, Amerika Syarikat: Calon Presiden Amerika Syarikat (AS) dari parti Republikan, Donald Trump tetap bertegas dia bakal muncul pemenang walaupun laluannya ke Rumah Putih dilihat semakin sukar.

Trump dalam kempennya di St Augustine menggesa penyokongnya terus menentang apa yang didakwanya satu konspirasi pihak atasan bagi menyekat kemenangan pergerakan popularnya.

Dalam kempen tiga harinya di Florida, antara negeri penting dalam pilihan raya, Trump turut menyelar media dengan menyifatkan mereka menjijikkan kerana menyiarkan tinjauan pendapat yang didakwa Trump sengaja direka.

Trump berkata, itulah antara tanda terbaru berlakunya penipuan dalam pilihan raya yang dijadualkan pada 8 November ini.

“Media bukan sahaja menentang saya, mereka menentang anda semua. Mereka menentang apa yang kita pegang.

“Saya percaya, kita sebenarnya sedang menang,” katanya di hadapan penyokongnya.

Walaupun Trump terus mempamerkan keberaniannya tetapi pasukan kempennya mula mengaku ketinggalan dan negeri Pennsylvania yang penting mungkin terlepas ke pesaingnya dari Demokrat, Hillary Clinton.

Lebih buruk lagi, satu tinjauan pendapat terbaru menunjukkan majoriti pengundi muda menyokong Hillary.

Tinjauan pendapat terbaru oleh GenForward mendapati Hillary mendahului pengundi berusia 18 hingga 30 tahun dengan 60 peratus berbanding Trump, 19 peratus.

Pengundi muda berkulit hitam hampir semuanya menyokong Hillary dan kini pengundi muda berkulit putih juga mula beralih kepadanya.

Dengan pilihan raya tinggal dua minggu lagi, harapan Trump untuk ke Rumah Putih dilihat semakin samar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 10:07 AM