Stockholm: Bekas juara terbuka Amerika Syarikat Juan Martin del Potro (gambar) meraih gelaran ATP pertamanya dalam tempoh hampir tiga tahun dengan kemenangan 7-5, 6-1 ke atas pemain Amerika Syarikat Jack Sock pada perlawanan akhir di Stockholm semalam.

Pemain Argentina yang menang kejohanan di Flushing Meadows pada 2009 sebelum mengalami kecederaan pergelangan tangan berulang hampir membawa kepada persaraannya, memerlukan hanya satu jam 15 minit untuk menewaskan Sock selaku pilihan keenam kejohanan.

“Saya cuba menyelesaikan masalah ini dalam tempoh dua tahun sebelumnya dan saya tidak sangka dapat menjulang trofi di sini. Ia satu motivasi untuk masa depan,” kata Del Potro.

Pemain berusia 28 tahun itu yang tewas kepada Andy Murray pada final Sukan Olimpik di Rio, Ogos lalu, kali terakhir beraksi pada perlawanan akhir jelajah di Sydney pada Januari 2014 apabila menewaskan pemain pilihan tuan rumah Bernard Tomic 6-3, 6-1.

Pemain nombor 63 dunia itu hanya menyertai enam kejohanan dari 2014 hingga 2015 tetapi kembali mendapatkan sentuhan yang membolehkannya menduduki ranking keempat dunia.

Del Potro membantu negaranya menewaskan negara Murray, Great Britain pada separuh akhir Piala Davis dan akan membawa Argentina untuk gelaran pertama mereka apabila berdepan Croatia bulan depan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 11:17 AM