HILLARY disambut penyokongnya ketika berkempen di Raleigh, Carolina Utara, semalam. - AP

Charlotte (Amerika Syarikat): Kurang dua minggu sebelum rakyat Amerika Syarikat (AS) memilih presiden baru mereka, Hillary Clinton, yang makin mendahului pesaingnya, Donald Trump, meningkatkan kempen di negeri penting bagi mengukuhkan penguasaannya.

Bekas Setiausaha Negara dari parti Demokrat itu bercita-cita menjadi presiden wanita pertama AS.

Menurut tinjauan pendapat oleh ABC News, Hillary, 68, berkemungkinan mendapat 50 peratus undi berbanding Trump yang memperoleh 38 peratus.

Ini adalah peratusan tertinggi Hillary sejak persaingan menggantikan Presiden Barack Obama bermula.

“Kami ketinggalan,” kata pengurus kempen Trump, Kellyanne Conway dalam satu program terbitan NBC tetapi menegaskan persaingan masih belum tamat.

Dalam kempen di Naples, Florida, Trump, 70, menyeru penyokongnya bersatu untuk menyingkirkan Hillary sepenuhnya.

“Angka yang disiarkan media menunjukkan Hillary akan menang di Florida. Jangan percaya pada laporan itu,” tegas Trump.

Florida adalah negeri penting dalam persaingan ke Rumah Putih dan antara negeri yang menjadi kunci untuk calon muncul pemenang pada pilihan raya 8 November ini.

Kebanyakan tinjauan pendapat mendapati Trump ketinggalan beberapa mata di negeri itu.

Hillary mendahului tinjauan pendapat dua hala dan empat hala di seluruh negara dengan purata enam mata. Dia juga mendahului di kebanyakan negeri penting.

Trump bagaimanapun masih bertahan di negeri kubu kuat tradisional Republikan seperti Texas, tempat dia mendahului dengan tiga mata. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2016 @ 9:52 AM