KENDERAAN yang rosak dihempap pokok. FOTO ihsan pembaca
Hamzah Osman
am@hmetro.com.my


Langkawi: Kereta rosak dihempap pokok akibat ribut di tempat letak kereta Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di Padang Matsirat, petang tadi.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, hampir seluruh pulau ini dilanda ribut kira-kira 10 minit dengan kawasan paling teruk terjejas di Padang Matsirat, Pantai Chenang dan Kampung Penarak.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini dengan pasukan bomba dan penyelamat serta kakitangan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Peancongan sudah membersihkan kawasan terjejas.

Tinjauan di beberapa lokasi di sini mendapati banyak pokok tumbang dan dahan patah merintangi beberapa jalan utama, selain bumbung rumah penduduk rosak teruk diterbangkan angin.

Difahamkan feri penumpang yang berlabuh di perairan berhampiran Dataran Lang di sini turut hanyut 50 meter apabila tali sauhnya putus akibat ribut.

Ketua Bomba Zon Langkawi, Penguasa Bomba Fadzlullah Mohd Noor, ketika dihubungi mengesahkan kejadian kereta dihempap pokok tumbang dan memaklumkan pemandunya hanya cedera ringan.

"Pemandu terbabit yang tersepit dalam kereta ketika kejadian berjaya dikeluarkan. Selain kejadian kenderaan ditimpa pokok, sehingga kini pihak bomba juga menerima enam panggilan kecemasan membabitkan pokok tumbang menimpa rumah dan dahan patah yang menghalang lalu lintas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 10:01 PM