BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang menunggu laporan pegawainya yang dihantar ke sebuah rumah kebajikan di Perak yang penghuninya didakwa diletak dalam kubikel berpagar seperti kandang.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata ia susulan laporan mengenainya yang viral di media sosial.

"Saya arahkan pegawai untuk ke tempat itu...saya kini menunggu laporan terperinci daripada mereka," katanya selepas menjadi tetamu dalam program terbitan stesen televisyen Bernama News Channel hari ini.

Beliau berkata rumah kebajikan itu adalah pusat penjagaan berdaftar.

Rohani bagaimanapun menegaskan kanak-kanak atau orang kurang upaya yang menjadi penghuni pusat kebajikan harus dijaga dengan baik mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Saya hendak pastikan sama ada pusat kebajikan itu mematuhi SOP berkenaan," katanya.

Seorang pengunjung ke rumah kebajikan kanak-kanak kurang upaya di Batu Gajah itu mendapati ada penghuninya diletak dalam 'sangkar' khas dan isu itu mendapat pelbagai reaksi orang ramai apabila viral di media sosial.

Berita berkaitan:

Demi keselamatan penghuni

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 9:08 PM