ZAMZAMZAIRANI (kiri) bersama Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Telekom Malaysia Berhad, Datuk Bazlan Osman (tengah) dan Timbalan Presiden Eksekutif, Pelanggan dan SME, Telekom Malaysia Berhad, Imri Mokhtar, menunjukkan pelan terbaru pakej Unifi. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Hafiz Ithnin
hafizithnin@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Bhd (TM) berhasrat untuk menaikkan sekali ganda tahap kepantasan jalur lebar bagi pelanggan kediaman UniFi secara berperingkat bermula Januari tahun depan.

Perancangan itu termasuk di dalam pelan pembangunan kelajuan jalur lebar yang dilaksanakan oleh TM sejak tahun lalu untuk tempoh tiga tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, dengan menaikkan tahap kelajuan berkenaan, caj yang dikenakan kepada pengguna masih sama.

Beliau berkata, ia juga memberi manfaat kepada pelanggan kediaman TM di dalam kawasan projek jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) dan jalur lebar pinggir bandar (SUBB).

“Setakat ini, TM mempunyai lebih 2.37 juta pelanggan jalur lebar yang mana lebih 90,000 daripadanya adalah pelanggan UniFi. Lebih 60 peratus daripada pelanggan jalur lebar TM kini melanggan pakej berkepantasan 4Mbps dan ke atas.

“Sementara kira-kira 68 peratus daripada pelanggan UniFi melanggan pakej berkepantasan 10Mbps dan ke atas. Ia memberi gambaran corak penggunaan pelanggan TM pada masa ini,” katanya pada pengumuman pelan penambahbaikan jalur lebar 2017 di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 7:41 PM