SUASANA di McDonald's KL Sentral sempena pemberian Chicken Muffin percuma dan Fattah bersama Maria (dua dari kiri). FOTO Nurul Huda Kosnon
Nurul Huda Kosnon
nurulhuda_kosnon@hmetro.com.my

 

Kuala Lumpur: Restoran terkemuka McDonald's Malaysia memberikan sebanyak 230,000 Chicken Muffin secara percuma kepada orang ramai sempena pelancaran acara tahunan Hari Sarapan Kebangsaan, hari ini.

Bertemakan 'Senang Pagi-Pagi', sarapan percuma itu diberikan kepada 1,000 pelanggan pertama yang mengunjung 230 cawangan McDonald’s seluruh negara bermula 7 pagi sehingga 10 pagi.

Pengarah Kanan Pemasaran dan Komunikasi McDonald's Malaysia, Melati Abdul Hai berkata inisiatif berkenaan diperkenalkan sebagai langkah memberitahu masyarakat mengenai kepentingan mengambil sarapan pagi yang berkhasiat.

"Pihak kami menggalakkan masyarakat untuk mengambil sarapan yang berkhasiat supaya lebih cergas dan bertenaga terutama bagi mereka yang memulakan kehidupan seharian pada awal pagi," katanya ketika ditemui Harian Metro di McDonald's KL Sentral, pagi tadi.

Menurutnya, McDonald's berbesar hati dapat membantu orang ramai memulakan hari mereka dengan lebih bertenaga selain berhasrat untuk terus menghidangkan sarapan kepada pelanggan pada masa akan datang.

"Selain mengetengahkan kebaikan bersarapan, kempen pada kali ini juga meraikan pekerja termasuk golongan pendidik dan pemandu bas yang memulakan hari mereka pada awal pagi untuk memastikan perkhidmatan yang lebih efektif.

"Misalnya, cawangan McDonald's di seluruh negara sudah melawat beberapa sekolah untuk berkongsi hidangan Chicken Muffin bersama guru.

"Pihak kami amat menghargai sumbangan mereka terutama dalam memastikan anak-anak sentiasa bersedia untuk menjalani sesi pembelajaran yang lebih produktif dan menyeronokkan," katanya.

Katanya, McDonald's mencipta kelainan pada kempen kali ini apabila turut memperkenalkan eleman kejutan dengan memberi satu Golden Muffin kepada pelanggan bertuah yang mengambil bahagian di seluruh negara.

"Seramai 230 pemenang bertuah ini menerima sijil hadiah McDonald's bernilai RM200 setiap seorang. Golden Muffin adalah sebahagian daripada 230,000 Chicken Muffin yang diberikan kepada rakyat di negara ini tanpa mengira latar belakang," katanya.

Kempen yang dihadiri kira-kira 230,000 pelanggan di 230 cawangan McDonald's di seluruh negara itu turut dimeriahkan dengan kehadiran artis popular tanahair termasuk pelakon, Fattah Amin.

McDonald's adalah peneraju dalam bidang perkhidmatan peruncitan makanan di peringkat global dengan mempunyai kira-kira 36,000 restoran di seluruh dunia dan memberi khidmat kepada lebih 70 juta pelanggan pada setiap hari.

Di Malaysia, Mcdonald's sudah memulakan operasi sejak 34 tahun lalu dengan mempunyai lebih 230 restoran di seluruh negara.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 10:48 AM