Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Pencemaran bau air sungai yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa ditutup disyaki berpunca dari kawasan perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor Amin Lin Abdullah berkata, loji berkenaan mula ditutup pada jam 7.30 pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang sedang mengalami gangguan bekalan air sementara.

"Penghantaran bekalan air bantuan sedang diuruskan dengan lori tangki ke kawasan terbabit dan premis kritikal, seperti hospital dan pusat dialisis," katanya dalam kenyataan.

Kawasan utama yang terbabit termasuk daerah Hulu Langat merangkumi Bangi, Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Semenyih dan Rinching; daerah Kuala Langat iaitu Morib, Banting, Bandar Saujana Putra, Bandar Rimbayu dan Telok Panglima Garang.

Sementara daerah Petaling merangkumi USJ 1 hingga 27, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang serta daerah Sepang membabitkan Putrajaya, Cyberjaya, Bandar Nusa Putra, Putra Heights, Pulau Meranti, Kota Warisan, Bandar Bukit Puchong dan Sungai Merab.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat terkini dan terperinci kawasan yang terbabit melalui aplikasi telefon bimbit pintar 'mySYABAS' dan www.syabas.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2016 @ 2:25 PM