MANGALA kawal benteng City bersama Demichelis.
AFP

Manchester, England: Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini mendakwa beliau yakin sepenuhnya terhadap pertahanan Perancis, Eliaquim Mangala menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Crystal Palace di Stadium Etihad, malam ini.

Kapten City Vincent Kompany terpaksa direhatkan hingga awal tahun baru dengan masalah hamstring yang berulang dan Mangala akan bermain di pertahanan tengah di samping Martin Demichelis.

Pellegrini percaya pemain kebangsaan Perancis itu yang menyertai kelab juara Inggeris dari FC Porto pada hujung musim dengan harga £24.3 juta (RM130 juta), akan membuktikan kepentingannya ketika tempoh perayaan yang sibuk selepas sukar menyesuaikan diri dengan pantas dalam musim sulungnya di Liga Perdana.

“Sudah tentu kami percaya dengan Mangala. Itulah sebab kami membelinya,” kata Pellegrini.

“Mungkin dia melakukan beberapa kesilapan dalam Liga Perdana dan mungkin dia agak lambat menyesuaikan diri di sini.

“Tapi, kami terus mempercayainya kerana saya pasti dia seorang pemain yang amat bagus, dia amat muda dan sudah tentu penting buat kami di pertahanan tengah.”

City turut turun tanpa penyerang berpengaruh Sergio Aguero menentang Palace ketika dia sedang memulihkan diri daripada kecederaan lutut.

Namun, Pellegrini tetap yakin pemain kebangsaan Argentina itu boleh cergas sepenuhnya bagi perlawanan Liga Juara-Juara menentang Barcelona, Februari ini.

“Ligamen lutut Sergio cedera dan saya fikir mungkin pada minggu pertama Januari dia boleh diturunkan semula,” ujar Pellegrini.

City tidak dapat menurunkan semua penyerang utama ketika ini dengan Edin Dzeko mengalami kecederaan betis manakala Stevan Jovetic hamstring.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:07 AM