Sri Ayu Kartika Amri dan Sofyan Rizal Ishak
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Industri pembinaan negara kini menghadapi masalah kekurangan pekerja yang amat ketara dan dianggarkan sudah mengalami kekurangan kira-kira 100,000 pekerja di seluruh negara terutama dalam sektor perumahan.

Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM), Matthew Tee berkata, isu berhubung kekurangan pekerja asing berada pada tahap kritikal dan perlu diselesaikan segera bagi memastikan sektor itu dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Katanya, MBAM berharap kerajaan dan semua agensi kerajaan berkaitan memandang serius perkara itu berikutan Malaysia masih memerlukan tenaga kerja untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan memenuhi permintaan guna tenaga yang ada.

“MBAM sudah mengenal pasti lima isu yang perlu diberikan perhatian segera iaitu sistem pemugaran kerja (JCS), umur persaraan minimum, kelewatan memproses permohonan permit kerja, sistem biometrik yang tidak dimanfaat sebaiknya dan kelewatan kerja pemprosesan oleh pihak imigresen.

“Di negara ini, purata masa yang diambil untuk membolehkan majikan tempatan mendapatkan khidmat pekerja asing adalah lapan bulan dan ia satu jangka masa terlalu panjang dan tidak praktikal kerana berdasarkan standard amalan di negara serantau seperti di Dubai dan Abu Dhabi, dua bulan adalah tempoh maksimum,” katanya.

Menurutnya, Malaysia sekarang sedang mengalami pertumbuhan pembangunan yang pesat dan memerlukan ia dilaksanakan seperti yang ditetapkan, namun dengan kekurangan pekerja asing akan menjejaskan proses pembangunan.

Tee berkata, pekerja asing yang terbabit dalam industri pembinaan kebanyakannya sudah terlatih selepas menimba pengalaman dan latihan daripada syarikat kontraktor.

“Kami juga mencadangkan perlu diadakan dengan segera pusat sehenti bagi semua kerja pemprosesan permit pekerja asing,” katanya.

Beliau berkata, selain itu MBAM turut berharap kerajaan dapat memanjangkan tempoh permit pekerja asing di bawah Program 6P bagi membolehkan mereka terus bekerja di negara ini.

“Kira-kira 100,000 daripada 503,000 pekerja asing yang berdaftar di bawah program ini adalah dari industri pembinaan. Jika pekerja ini dihantar kembali ke negara masing-masing akan menyebabkan kekurangan pekerja dalam industri yang lebih kritikal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:07 AM