Reuters

New York: Calon presiden Amerika Syarikat (AS) dari parti Republikan, Donald Trump dijadual membentangkan apa yang bakal dilakukan dalam 100 hari pentadbirannya sekiranya dia menang pilihan raya pada 8 November ini.

Pembentangan itu yang dijangka dibuat dalam ucapan di Gettysburg, Pennsylvania lewat semalam bakal merangkumi rancangannya untuk meningkatkan ekonomi dan keselamatan fizikal AS.

Pembantu kempen Trump memberitahu, rancangan itu berbeza daripada lawannya dari Demokrat, Hillary Clinton.

Hillary pada awal tahun ini menerbitkan sebuah buku mengenai dasarnya sekiranya menjadi presiden.

Trump ketinggalan di belakang Hillary dalam kebanyakan tinjauan pendapat, walaupun dia berjaya merapatkan jurang dalam tinjauan terbaru kelmarin, kini mempunyai kurang tiga minggu sebelum pilihan raya.

Kempen beberapa minggu sebelum ini banyak memfokuskan kepada tuduhan Trump berkelakuan tidak sopan terhadap wanita, dakwaan yang dinafikan ahli perniagaan itu.

Ia juga didominasi dengan tuduhan Trump bahawa berlaku penipuan dalam pilihan raya dan dia mungkin tidak menerima keputusan pengundian.

Pembantunya berkata, Gettysburg adalah lokasi sesuai untuk Trump membentangkan visi positif untuk masa depan partinya, yang terjejas oleh perbezaan pendapat antara penyokongnya dan pemimpin parti.

Trump dalam ucapan sebelum ini menerangkan beberapa dasar baru bagi cuba mengalih perhatian terhadap kontroversi dirinya.

Dia mencadangkan peraturan etika bagi menutup pintu di antara kerajaan dan pihak pelobi, dan mengehadkan tempoh anggota Kongres. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2016 @ 5:07 AM