Sri Ayu Kartika Amri dan Sofyan Rizal Ishak
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Industri pembinaan Malaysia perlu terus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dalam tempoh jangka panjang kerana ia memberi beberapa kesan negatif termasuk pengaliran wang tunai ke luar negara dan peningkatan kos untuk menyediakan kemudahan kesihatan, penguatkuasaan undang-undang serta lain-lain.

Pengurus Besar Kanan Sektor Pembangunan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB Malaysia), Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata pihaknya menggesa penggiat industri untuk menggunakan teknologi Sistem Pembangunan Perindustrian (IBS) dan mekanisasi dalam projek pembinaan untuk menangani situasi terbabit.

“Kaedah pembinaan menggunakan jentera ini akan mengurangkan penggunaan tenaga kerja 45 peratus dan membuka lebih banyak peluang kerja kepada tenaga kerja mahir tempatan dalam bidang operasi kren dan jentera serta pengilangan komponen binaan di kilang,” katanya pada Bisnes Metro di sini, semalam.

Sehingga kini, CIDB Malaysia mendaftarkan seramai 184,822 pekerja binaan dalam kalangan warga asing yang memiliki dokumen sah di mana mereka terbabit dalam tiga kategori iaitu kerja am, tenaga kerja separuh mahir dan tenaga kerja mahir.

Beliau berkata, kerajaan disarankan untuk mempercepatkan pengurangan cukai import untuk jentera berat bagi memudahkan penggiatkan industri menggunakan kaedah IBS dan mekanisasi di dalam projek pembinaan masing-masing.

Menurutnya, syarat lebih ketat perlu dikenakan untuk kemasukan tenaga kerja asing supaya penggiat industri melihat keperluan untuk melabur dalam pembelian jentera-jentera terbabit.

“Kos levi untuk pengambilan pekerja asing perlu mengambil kira kos tinggi di tanggung kerajaan dan jika ini berlaku, maka penggiat industri akan melihat kelebihan untuk memberi peluang lebih baik kepada tenaga kerja mahir tempatan,” katanya.

Pada masa sama, CIDB Malaysia menggesa syarikat pembinaan supaya mengambil pekerja tempatan dalam bidang kerja yang memerlukan kemahiran tinggi.

“Setiap tahun, kami turut melatih 5,000 hingga 6,000 belia dan 25,000 orang untuk industri binaan melalui enam Akademi Binaan Malaysia (ABM) yang kini berjaya menghasilkan 300,000 pekerja mahir dalam industri pembinaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:06 AM