Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


HASRAT pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Salleh, meraih jersi Raja Pecut Jelajah Malaysia (JM) 2016 tidak kesampaian.

Harrif terpaksa akur menamatkan perlumbaan pada kedudukan keempat ketika pencabar dari Korea Selatan, Park Sung Baek muncul juara peringkat terakhir dari Kemaman ke Kuala Terengganu sejauh 184.4 kilometer dengan masa tiga jam 14 minit 37 saat.

Ia membolehkan pelumba pasukan KSPO berkenaan merampas jersi biru untuk bergelar Raja Pecut dengan mengumpul 51 mata manakala Harrif sekadar 43 mata.

Pasukan dari Iran, Pishgaman Cycling Team mendominasi tiga kategori iaitu pasukan terbaik keseluruhan selain individu terbaik (Arvin Moazami Godarzi) dan Raja Bukit (Amir Kolahdouz Hagh).

Pelumba 7 Eleven Sava RBP Jesse James Ewart pula memenangi pelumba bawah 23 tahun terbaik manakala Nik Mohd Azwan Zulkiflie dari skuad negara muncul pelumba tempatan terbaik.

JM 2016 bermula Selasa lalu berlangsung lima peringkat bermula di Kuala Lumpur menyusuri Perak, Pahang, Kelantan dan berakhir di Terengganu, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2016 @ 4:30 PM