Nor Hairulnizam Wahid
hairulnizam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Peruntukan RM1.2 bilion untuk pembangunan sukan negara khususnya menjelang penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2017 serta Program Podium dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap sukan biarpun perlu berhemah dalam perbelanjaan ketika iklim ekonomi tidak menentu.

Daripada jumlah itu, RM450 juta untuk penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN dan RM70 juta untuk Program Podium seperti dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2017 semalam.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan Perdana Menteri kerana mengiktiraf sukan sebagai sesuatu yang amat penting bukan saja kepada atlet elit tetapi juga secara holistik bagi menggalakkan rakyat lebih aktif bersukan,” kata Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo (gambar).

“Biarpun RM450 juta itu kurang daripada apa yang dipohon Menteri Belia dan Sukan (Khairy Jamaluddin Abu Bakar), ia masih jumlah yang munasabah dan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia akan cuba berbelanja mengikut peruntukan disediakan.

“Kita bukan saja mahu menganjurkan Sukan SEA terbaik untuk rakyat negara kita malah mahu ia turut dinikmati atlet luar negara yang mengambil bahagian.”

Beliau turut gembira kerana Program Podium turut diberi perhatian yang menurutnya memberikan pendedahan latihan dan pertandingan di peringkat antarabangsa untuk melahirkan atlet yang mantap.

Apatah lagi dengan prestasi membanggakan yang ditunjukkan atlet Olimpik dan Paralimpik di Rio memerlukan lebih banyak usaha untuk meningkatkan prestasi atlet.

“Ia bukan boleh diperolehi dalam tempoh sebulan dua atau setahun dua dan kita perlu bersedia lebih awal untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020.”

Selain itu, RM50 juta diperuntukkan untuk pembinaan bola sepak fasa kedua di Gambang, Pahang, RM54 juta untuk program pembangunan sukan termasuk penyediaan atlet sukan paralimpik serta RM122 juta untuk membina dan menaik taraf kemudahan sukan termasuk kompleks belia dan sukan negeri-negeri, kompleks futsal satu malaysia dan kompleks sukan komuniti.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Dr Mohd Khairi Zawi, pihaknya bersyukur dengan bajet RM70 juta yang menurutnya tidak tersisih jauh dengan perancangan asal, sekali gus bermakna teras pembangunan atlet elit tidak terjejas.

Jelasnya bagi mengimbangi bajet yang diperuntukkan, pihaknya perlu lebih terancang dan kreatif dalam perbelanjaan.

“Antara langkah yang diambil adalah merancang latihan dan penyertaan kejohanan luar negara di mana penjimatan lebih besar boleh diperolehi dengan membeli tiket jauh lebih awal dan secara dalam talian.

“Selain itu kriteria kemasukan dan penyingkiran atlet Program Podium perlu disemak bagi memastikan hanya atlet berpotensi memenangi pingat dan dalam kelompok ranking terbaik dunia berada dalam program terbabit,” katanya.

Sementara itu Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail turut berterima kasih terhadap bajet RM54 juta untuk persediaan atlet normal dan paralimpik bagi menghadapi kedua-dua temasya sukan itu.

“Kita memahami situasi semasa yang memerlukan kita berbelanja secara berhemah namun MSN akan membuat sedikit pengubahsuaian terhadap perancangan program latihan khususnya memberi tumpuan kepada sukan yang memberi impak kepada sasaran untuk muncul juara keseluruhan Sukan SEA dan naib juara Sukan Para ASEAN,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2016 @ 5:22 AM