Puchong: Myfranchise Sdn Bhd (Myfranchise) menerusi Wonderful Lifestyle Sdn Bhd pengurus rangkaian Gloria Jean’s Coffee menyasarkan pembukaan operasinya ke Surabaya, Indonesia pada suku pertama tahun depan yang dilihat mampu membolehkan pegangan lebih kukuh ke atas pasaran industri makanan dan minuman (F&B) di rantau ini.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie berkata, setakat ini pihaknya memperuntukkan perbelanjaan modal berjumlah RM1 juta untuk tujuan itu dan sudah mengenalpasti 10 bakal francaisi yang berpotensi menjengah jenama berkenaan di negara jiran.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan tempoh lima hingga 10 tahun bagi jenama itu benar-benar berkembang di pasaran terbabit.

“Kita akan memulakan operasi di Surabaya, Indonesia yang mempunyai lokasi dan penawaran sebelum ke kawasan lain seperti Jakarta.

“Syarikat optimis terhadap pelaburan ini dan kita akan membelanjakan modal yang bersesuaian selari dengan perkembangannya,” katanya selepas merasmikan cawangan terbaru Gloria Jean’s Coffees di SetiaWalk Mall, Puchong di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MyFranchise, Fauzi Awang.

Beliau berkata, tiga cawangan di Brunei sebelum ini juga sudah menunjukkan pertumbuhan positif sejak mulai beroperasi lapan tahun lalu.

“Selain pasaran luar, kita sasarkan sekurang-kurangnya 10 lagi cawangan baru Gloria Jean’s Coffees akan dibuka bagi mencapai kapasiti 50 cawangan secara keseluruhan,” katanya sambil menambah dua lagi kedai iaitu di Kedah Medical Centre (KMC) dan Paya Bunga Square, Terengganu bakal dibuka pada Januari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:05 AM