MANGSA yang tersepit dalam mesin pengisar tanah. FOTO ihsan bomba
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my


Padawan: Pekerja warga Myanmar maut akibat tersepit dalam mesin pengisar tanah dalam kejadian di sebuah kilang batu bata di Jalan Puncak Borneo di sini, petang tadi.

Kejadian 1.30 tengah hari itu menyebabkan Nyi Nyi Aung, 31 maut di lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Siburan bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 1.48 petang.

Menurutnya, sebaik tiba, mendapati seorang lelaki Myanmar tersepit dalam mesin pengisar tanah.

"Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan bantuan mekanik kilang dengan perlu mengangkat mesin itu menggunakan forklift terlebih dulu.

"Hampir semua badan mangsa tersepit, keculi dari paras bahu ke kepala," katanya.

Katanya, ambulans yang hadir ke lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

"Bomba mengambil masa hampir dua jam untuk mengeluarkan mayat mangsa dengan operasi tamat sepenuhnya pada 3.59 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 9:10 PM