Jakarta: Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia Susi Pudjiastuti semalam mendesak Presiden Joko Widodo (Jokowi) supaya bertindak segera terhadap 13 kapal Cina dan Taiwan yang dikesan menangkap ikan di perairan negara itu.

Bercakap kepada wartawan di sini, Susi berkata, kapal berkenaan yang dikendalikan oleh warga asing dikesan menerusi data sistem pengawasan kapal (VMS) dan sistem pengecaman automatik (AIS) yang terpasang pada kapal terbabit.

“Kita perlu sebarkan kehadiran kapal berkenaan supaya Presiden Jokowi segera bertindak. Ayo, biar cepat ditangkap. Sudah terlalu banyak kekayaan laut kita dijarah,” kata Susi.

Sementara itu, kementeriannya bersama-sama tentera laut Indonesia sudah bersedia menenggelamkan tujuh lagi kapal asing yang ditahan di perairan negara itu.

Menurutnya, ketujuh-tujuh kapal berkenaan sudah melalui proses perbicaraan dan terbukti mencuri ikan di perairan Indonesia.

“Di Pontianak ada enam kapal, lima kapal Thailand dan satu Vietnam. Di Batam ada satu. Sudah sedia untuk ditenggelamkan,” kata Susi.

“Tujuh kapal asing berkenaan telah melalui proses penadilan dan terbukti mencuri ikan di laut Indonesia,” kata ketua pengarah kementerian Asep Burhanudin.

Dalam pada itu, lapan kapal China yang ditangkap di Laut Arafura kini dalam proses perbicaraan.

“Jika terbukti mereka mencuri ikan kita, kapal itu juga akan ditenggelamkan,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:04 AM