JAMBATAN menghubungkan masyarakat dan pendaki untuk ke Namche Bazaar.
PANDANGAN begini biasa dilihat kerana orang Nepal dikenali mampu melakukan kerja berat.
LALUAN ke rumah hentian terakhir di Gorak Shep.
BARISAN pendaki yang berjaya sampai ke EBC (barisan hadapan dari kiri) Afende, Fatihah Yasmin Mohd Yassin, Nur Azeanty Sulaiman, Aznal Bakesh Ahmad Nazari, Faezah Sani, Abd Khalil Khalid, Khairul Nizam Minhat, Khairul Fahmi Abu Bakar, Nur Dhiya Hasim, Mohd Farriq Osman. Barisan kedua dari kiri, Nennie Trianna Rosli dan Jeffrysulhelmy Hashim. Barisan ketiga dari kiri, Mohd Izzat Mohd Zain, Nik Hazree Nik Hashim, Muhammad Hakim Mat Daud, Mohd Eddy Mohamadin dan Ahmad Afiq Razali.
Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Aktiviti mendaki gunung sudah tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia, malah ada yang sudah berjaya menawan puncak Everest, gunung tertinggi di dunia.

Bagaimanapun, jarang warga Malaysia menjadi pemandu arah gunung (mountain guide), apatah lagi di sekitar Nepal yang memiliki beberapa gunung yang bukan sahaja tinggi, malah berbahaya dan mencabar.

Itulah kerjaya Nor Afende Aminudin, 39, (gambar kanan) yang sudah tujuh kali menjejakkan kaki di Annapurna Base Camp (ABC) kerana membawa kumpulan pendaki ke kem yang berada pada ketinggian 4,130 meter dari aras laut itu.

Dikenali dengan gelaran ‘Fendi Penyamun’ dalam kalangan rakan pendaki, meredah gunung dan bukit bukan suatu yang asing kepadanya, malah minat itu sudah bermula sejak 1995 apabila dia berjaya menawan Gunung Ledang, Johor buat pertama kali.

Tidak terhenti di Malaysia, buat pertama kali Afende mendaki gunung di luar negara dengan berkunjung ke Bali, Indonesia untuk menakluk Gunung Agung pada 2002.

Menurutnya, minat mendaki bukanlah kerana inginkan kepuasan semata-mata tetapi bertujuan mencabar kemampuan diri untuk berhadapan halangan alam sekitar terutama geografi dan cuaca.

Tidak hairanlah, apabila dia sanggup mendaki Gunung Chamah dari Gua Musang, Kelantan dan turun ke Gunung Ulu Sepat di Grik, Perak pada musim hujan sedangkan laluan gunung ketika itu dikatakan sangat mencabar.

Pengalaman itu membolehkan Afende membawa peserta untuk merasai sendiri pengalaman di atas puncak gunung sama ada tempatan atau luar negara.

Nepal, negara yang cukup dikenali dalam kalangan pendaki antarabangsa kerana misi mereka ialah ingin mencatat nama di puncak Gunung Everest.

Jika Everest terkenal sebagai gunung tertinggi di dunia, Annapurna di Pokhara antara gunung paling bahaya selain Nanga Parbat di Pakistan yang mendapat jolokan sebagai ‘killer mountain’ kerana ramai pendaki menemui ajal di sana manakala Gunung K2 dianggap sebagai paling teknikal untuk diteroka.

Terbaru, menerusi syarikat Malaysian Backpackers, Afende bersama empat kru berusaha merealisasi impian 16 peserta berada di ‘Everest Base Camp’ (EBC) setinggi 8,850 meter di Nepal.

Ia sesuatu yang menyeronokkan apabila semua peserta dan kru berjaya sampai di EBC pada 8 September lalu selepas berada di sana selama 11 hari dari 30 Ogos hingga 19 September.

“Sukar digambarkan kerana kami puas melihat semua peserta berjaya tiba di EBC meskipun ada yang berhadapan dengan masalah kesihatan.

“Altitud yang tinggi menyebabkan peserta mudah diserang penyakit akut gunung (AMS). Selera makan juga berkurangan sedikit demi sedikit membuatkan seseorang akan kehilangan tenaga untuk meneruskan perjalanan.

“Walaupun laluan ke EBC tidaklah begitu sukar, altitud dan oksigen yang nipis menyebabkan peserta cepat penat.

“Disebabkan hanya pendaki ke Gunung Everest dibenarkan tidur semalaman di EBC, kami perlu beredar dan kembali ke Gorakshep,” katanya. Gorakshep adalah hentian terakhir pendaki yang hendak ke EBC dari Lukla yang terletak dalam Taman Negara Sagarmatha.

Kedatangan kali kedua ke EBC sejak 2007 itu membawa makna besar kepadanya kerana bukan saja untuk melakukan aktiviti mendaki sambil melancong, malah diberi kesempatan melakukan kerja amal untuk masyarakat Islam di Nepal.

Ia bermula dengan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan di sekolah di laluan ke ABC sehingga ke Pokhara, Nepal, sejak 2012.

Dia bersama pasukannya tidak berputus asa mewarnai kehidupan segelintir umat Islam dengan membawa pelbagai barangan seperti selimut dan peralatan sekolah.

“Kami turut menghantar panel solar, bateri, naskhah al-Quran serta tangki air ke Islamiya Madrasa dan turut mengecat bangunan sekolah itu.

“Pada Aidiladha lalu, kami berkesempatan melakukan ibadah korban dengan menumbangkan seekor kerbau.

“Masyarakat Islam berkumpul di Masjid Jamek Nepal di Ghantaghar dan sama-sama bergotong-royong menyembelih, melapah dan membahagikan daging kepada kira-kira 100 orang.

“Cukup mengharukan apabila melihat mereka dapat menikmati daging kerbau yang sukar dibeli disebabkan harganya mahal dan masalah kemiskinan berbanding umat Islam di negara ini.

“Kerjasama dan sokongan penaja antaranya Universiti Teknikal Melaka (UTeM), SIRIM, Bank Rakyat, Telekom Malaysia (TM), Takaful Ikhlas dan Syarikat Air Melaka Berhad mampu meringankan beban masyarakat di sana, malah wakil syarikat terbabit turut berpeluang mengikuti CSR yang dijalankan,” katanya.

Kumpulan ini turut berjaya menamatkan misi ke Imja Tse atau lebih dikenali sebagai Gunung Island Peak yang memiliki ketinggian 6,189 meter dari aras laut juga dalam kawasan Taman Negara Sagarmatha.

Dalam keadaan kabus tebal dan salji turun dengan lebatnya, kumpulan seramai sembilan orang itu berjaya sampai ke puncak pada jam 1.50 tengah hari ketika umat Islam di Malaysia menyambut Aidiladha.

Meskipun terpaksa berjalan dalam keadaan salji pada paras pinggang, kumpulan diketuai Fendi adalah menjadi kumpulan pendaki pertama yang sampai ke puncak Island Peak untuk 2016.

Beliau melaungkan takbir dengan penuh kegembiraan dan sebagai tanda syukur kerana berjaya membawa rakan dan peserta sehingga ke puncak.

Untuk akan datang, beliau dan kru bakal merealisasikan impian pendaki yang ingin sampai ke puncak Gunung K2 pada September tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 12:39 PM