SM Faisal (kanan) pada pelancaran Chevrolet Colorado.

Kuala Lumpur : Pengimport dan pengedar kenderaan jenama Chevrolet, Naza Quest Sdn Bhd menyasarkan jualan 1,700 unit model baru trak pikap Colorado pada tahun depan, selain berusaha untuk menguasai segmen pikap di negara ini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat-syarikat Naza, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin berkata, jenama Chevrolet memang sudah dikenali di negara ini dengan pelancaran beberapa model baru yang mampu bersaing dalam pasaran automotif tempatan.

“Pelancaran Chevrolet Colorado menjadi penanda aras terhadap segmen pikap di negara ini selain bakal mengubah pandangan orang ramai terhadap kenderaan lasak ini.

“Saya yakin Colorado serba baru ini mampu memberi kepuasan kepada peminat pikap dengan pelbagai ciri ditawarkan melebihi pesaingnya yang lain,” katanya pada majlis pelancaran model itu di Menara Naza, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Jualan dan Edaran General Motors (GM) International, Gary Player dan Ketua Syarikat Chevrolet Malaysia, Mohd Farid Rosli.

Sementara itu, Mohd Farid berkata, pihaknya mensasarkan menjual 2,200 unit pelbagai model jenama itu pada tahun depan, termasuk 1,700 daripadanya adalah Colorado.

Terdahulu, pikap Colorado yang sinonim dengan gaya hidup penduduk Amerika Syarikat ditawarkan pada harga jualan tanpa insurans bermula RM90,188 seunit bagi model manual 2.5L LT, sementara versi premium 2.8L AT High Country berharga RM120,888.

Sebanyak lima varian diperkenalkan antaranya 2.5MT LT; 2.5AT LT; 2.5AT LTZ; 2.8AT LTZ dan 2.8AT High Country. Naza Quest turut menawarkan jaminan lima tahun atau jarak perbatuan 200,000 kilometer (km).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 10:54 AM