Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my


Petra Jaya: "Syukur keluarga adik ipar saya selamat. Mereka lebih penting daripada harta benda yang musnah.”

Itu kata Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani ketika ditemui di lokasi kebakaran.

Kediaman di Jalan Hashim Jaafar, Kampung Lintang, itu terbakar dalam kejadian kira-kira 6 pagi ini.

Mohamad Morshidi, berkata dia menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.40 pagi.

"Perkara pertama yang saya tanya ialah keadaan keluarga. Alhamdulillah keluarga adik ipar saya semuanya selamat,” katanya.

Rumah berkenaan didiami Siti Hawa Suip dan Abdul Khalid Suip, 49, bersama isterinya berusia 41 tahun serta seorang kanak-kanak sebelas tahun.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Kuching, Tiong Ling Hii berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.10 pagi.

Katanya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya dan Kuching dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan siasatan masih dijalankan untuk mengenalpasti punca kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 9:40 AM
IHSAN Bomba dan Penyelamat