TREN baru ERL di Depoh Kompleks Rel Udara Salak Tinggi yang akan beroperasi menggantikan tren lama yang sudah berusia 14 tahun.
Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my


Sepang: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) memperkenalkan enam tren baharu yang mampu meningkatan kapasiti penumpang sehingga 50 peratus dan memendekkan masa menunggu mulai Mac tahun depan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pengenalan tren baharu itu turut menyumbang kepada peningkatan perkhidmatan ERL yang lebih selesa dan selamat, khusus untuk penumpang.

“Penambahan tren ini akan meningkatkan jumlah penumpang sehingga 50 peratus sekali gus mampu mencapai 100 juta penumpang pada masa akan datang, selain mengurangkan masa menunggu terutama pada waktu puncak.

“Ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam di kawasan bandar yang dapat mengurangkan kesesakan kenderaan di ibu kota,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Tren Baharu ERL di Depoh Kompleks Rel Udara Salak Tinggi di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi; Pengerusi Eksekutif ERL Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh; Naib Presiden High Speed and Main Line Changchun Railway Vehicles Company Limited (CRRC) Lou Yanjun dan Ketua Pegawai Eksekutif ERL Noormah Mohd Noor.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 8:27 AM