BERNAMA

Putrajaya: Keganasan dalam kalangan kekasih, 'stalking' (menghendap) atau 'intimidating' (menakutkan) mangsa antara yang dicadangkan dimasukkan dalam pindaan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, pindaan akta itu termasuk memperluas takrifan keganasan dan menambah baik kelompongan untuk mencegah keganasan rumah tangga dan memberikan perlindungan kepada pihak yang terbabit.,

Beliau berkata pindaan akta itu dijangka dibentangkan di Parlimen awal tahun depan.

Pihak kementerian, katanya mengadakan sesi pertemuan untuk pindaan akta itu dengan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), pakar undang-undang, ahli akademik, pertubuhan sosial, persatuan wanita dan juga mangsa sejak beberapa tahun lalu.

“Proses (pertemuan) ini masih berterusan. Ia ke arah peringkat akhir," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Pembangunan Wanita dan Keluarga di sini, hari ini.

Rohani berkata kes keganasan rumah tangga membabitkan mereka berumur 60 tahun ke atas juga menunjukkan peningkatan.

"Bagi saya ia sangat membimbangkan. Pada usia 60 tahun, mereka patut lebih penyayang dan bukan ganas. Saya berharap pindaan akta dapat menangani masalah ini juga," katanya.

Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat, 424 kes keganasan rumah tangga dilaporkan sehingga Jun tahun ini.

Tahun lalu, 667 kes keganasan rumah tangga dilaporkan manakala 2014 (707 kes) dan 2013 (488 kes).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 9:23 PM