SEPANG 20 OKTOBER 2016. Petugas ERL, Izzati Liyana Yusof, 28 (kiri) bersama Nordalili Azmi, 30 bergambar ketika majlis pelancaran tren KLIA Transit baharu di Depoh Kompleks Rel Udara, Salak Tinggi. NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my


Sepang: Express Rail LinkSdn Bhd (ERL) akan memperkenalkan enam tren baru yang mampu meningkatan kapasiti penumpang sebanyak 50 peratus mulai Mac tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, dengan adanya tren baru ia turut menyumbang kepada peningkatan perkhidmatan ERL yang lebih selesa dan selamat khusus untuk penumpang.

"Penambahan tren itu akan meningkatkan jumlah penumpang sehingga 50 peratus sekali gus mampu mencapai 100 juta penumpang pada masa akan datang.

"Selaras dengan hasrat kerajaan di bawah Program Transformasi Kerajaan kita mengambil beberapa inisiatif untuk meningkatkan sektor pengangkutan awam di kawasan bandar kepada 40 peratus menjelang 2030," katanya pada sidang media selepas merasmikan Tren Baru ERL di Depoh Kompleks Rel Udara Salak Tinggi di sini, hari ini.

Katanya, pertumbuhan jumlah penumpang terutama selepas pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) yang menyaksikan peningkatan purata 20 peratus sehari iaitu 30,200 penumpang.

"Kita berada pada landasan yang tepat dan kerajaan juga akan membelanjakan tambahan sebanyak RM160 bilion bagi projek berkaitan rel menjelang 2020 yang dapat menggalakkan peralihan mod pengangkutan selain mengurangkan kesesakan," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif ERL, Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh berkata, tren itu berupaya bergerak pada kelajuan 160 kilometer (km) termasuk dilengkapi sensor khas bagi meningkatkan tahap keselamatan.

"Enam tren baru itu juga akan mengurangkan waktu menunggu terutama pada waktu puncak selain dilengkapi penyaman udara dan ruang lebih besar untuk kaki bagi memberi keselesaan kepada penumpang ," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 5:22 PM