WAKIL syarikat, Chong Hoon Wai di Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


Seremban: Sebuah syarikat hotel bajet didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan membuat penyambungan bekalan air tanpa kebenaran Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), lima tahun lalu.

Happy Hotel Sdn Bhd yang diwakili penyelia, Chong Hoon Wai, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Kanageswari.

Mengikut pertuduhan, syarikat terbabit didakwa melakukan sambungan ke saluran utama awam milik SAINS tanpa kebenaran di premis itu di Jalan Tuanku Hassan di sini, pada 25 Januari 2011.

Berikutan itu, syarikat berkenaan didakwa mengikut Seksyen 123(1)(a) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Mohd Helmy Razelan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 10 November depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 4:12 PM