JOHARI (lima dari kanan) selepas majlis perasmian Persidangan dan Pameran Biz Dunia Islam 2016 di Kuala Lumpur, semalam.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kerajaan akan terus mengekalkan senarai barangan serta perkhidmatan yang dikecualikan atau berkadar sifar GST walaupun ketika ini terdapat permintaan daripada pihak bukan kerajaan (NGO) atau pemain industri untuk menambah senarai perkhidmatan atau barangan sempena Bajet 2017.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu dikaji kementeriannya dan mendapati barangan atau perkhidmatan diminta tidak dikenakan GST sebanyak 80 hingga 90 peratus oleh pemain industri dan bukannya kumpulan sasaran pengguna.

Katanya, pemain industri yang membayar GST boleh membuat tuntutan semula input cukai yang dibayar berbanding pengguna dan disebabkan itu, kerajaan tidak menambah jumlah perkhidmatan atau barangan yang dikategorikan sebagai sifar GST pada Bajet 2017.

“Mengenai spekulasi kenaikan kadar GST sebanyak dua peratus, ia tidak benar dan jika dilihat daripada kadar yang dikenakan juga kita adalah terendah di rantau ini. Malah, banyak barang dan perkhidmatan yang dikategorikan sifar GST atau dikecualikan.

“Selain itu, jika kita membuat perkiraan yang menggabungkan antara kadar barangan dan perkhidmatan yang dikenakan GST dengan dikecualikan daripada cukai berkenaan, sebenarnya kadar cukai hanya 3.6 peratus sahaja,” katanya selepas majlis perasmian Persidangan dan Pameran Biz Dunia Islam 2016, di sini, semalam.

Johari berkata, pembentangan Bajet 2017 juga akan terus memberi fokus kepada empat perkara iaitu kos sara hidup, pendidikan, kesihatan dan perumahan.

Beliau berkata, kerajaan juga optimis mencapai belanjawan berimbang menjelang 2020 walaupun berdepan situasi ekonomi yang mencabar. Ia dapat dilaksanakan antaranya memastikan setiap wang dibelanjakan kerajaan memberi manfaat kepada rakyat serta tidak berlaku ketirisan yang mampu memberi kesan kepada defisit negara.

“Mengenai isu sama ada berlakunya penarikan subsidi, kita tunggu pembentangan bajet pada Jumaat ini oleh Perdana Menteri. Namun kita tidak perlu risau kerana Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) masih ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 7:48 AM