PASUKAN Komando Iraq ketika mara menuju ke Mosul, semalam. - AP
AP

Baghdad: Militan Daish mengggunakan bom kereta selain melancarkan serangan mortar dalam usaha melambatkan kemaraan askar Iraq di sebuah pekan penting berhampiran Mosul, kata seorang pegawai tentera Iraq, semalam.

Pegawai berkenaan berkata, pasukannya kini berada kira-kira satu kilometer dari Hamdaniyah, bandar bersejarah yang turut dikenali sebagai Bakhdida, tidak jauh dari pinggir bandar Mosul.

Katanya, sejak Selasa lalu, Daish ‘menghantar’ 12 bom kereta yang semuanya diletupkan sebelum tiba di sasaran.

Selain itu, katanya, beberapa askar Iraq cedera akibat tembakan mortar.

Dia bagaimanapun tidak mendedahkan jumlahnya.

Iraq mula melancarkan operasi besar-besaran untuk menawan semula Mosul Isnin lalu.

Mosul adalah bandar kedua terbesar Iraq dan kubu kuat Daish.

Operasi itu yang terbesar dilancarkan tentera Iraq sejak serangan diketuai Amerika Syarikat pada 2003.

Kira-kira 25,000 askar termasuk pejuang etnik, militan Kurdis dan militia Syiah kini menghampiri bandar itu dari pelbagai arah.

Sementara itu, Daish didakwa turut menggunakan perisai manusia dalam usaha mempertahankan Mosul daripada jatuh ke tangan tentera.

Pada masa sama, terdapat laporan mengatakan ketua kumpulan itu, Abu Bakr al-Baghdadi terperangkap di bandar itu.

Jurucakap Pentagon, Jeff Davis berkata, 1.5 juta penduduk bandar itu dihalang meninggalkan Mosul sejak beberapa minggu lalu.

“Mereka ditahan di situ tanpa kerelaan dan digunakan sebagai perisai manusia,” katanya.

Abu Bakr dilaporkan terperangkap di bandar itu bersama pakar bom, Fawzi Ali Nouimeh.

Pegawai kanan militan Kurdis, Hoshiyar Zebari berkata, berita itu disokong laporan risikan yang kukuh.

Daish mengumumkan ‘pemerintahan khalifah’ di Masjid al-Nuri di Mosul pada 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 5:45 AM