TRUMP
AFP

Las Vegas: Presiden Barack Obama menyelar dakwaan Donald Trump bahawa kempen pilihan raya presiden 2016 dimanipulasi sebaliknya menyuruh calon republikan itu ‘berhenti merengek’ dan memfokuskan saja pada kempennya.

Kenyataan pedas yang lazimnya digunakan untuk menegur remaja yang ‘ada angin’ dibuat menjelang debat presiden pusingan ketiga dan terakhir antara Trump dan calon Demokrat, Hillary Clinton.

Obama kali ini tidak mengendahkan amalan diplomasi dan ketertiban seperti biasa, sebaliknya terang-terangan menyelar hartawan itu di depan Perdana Menteri Itali, Matteo Renzi.

Trump meningkatkan teori konspirasi mengenai sistem pilihan raya Amerika Syarikat (AS) ketika jumlah penyokongnya kelihatan semakin berkurangan susulan dakwaan gangguan seksual oleh pelbagai wanita terhadapnya.

Dia ketinggalan tujuh mata di belakang Hillary dan agensi pertaruhan di Eropah - tempat judi membabitkan politik dibenarkan - sudah mula bertaruh untuk kemenangan Hillary.

Namun Rumah Putih semakin bimbang Trump dan penyokongnya tidak akan menerima keputusan pilihan raya jika dia kalah seterusnya menyebabkan AS terjerumus dalam krisis politik.

“Sepanjang hidup saya, malah dalam sejarah politik moden sekalipun, tidak pernah saya melihat calon presiden cuba mencemarkan pilihan raya dan proses undian sebelum ia bermula. Memang tidak pernah berlaku.

“Adakah kamu akan menyalahkan orang lain setiap kali sesuatu berlaku tidak mengikut kehendak kamu? Kalau begitu, memanglah kamu bukan orang yang sesuai untuk menjadi presiden,” kata Obama.

Dia turut menyentuh dakwaan Trump bahawa berlaku penipuan pengundi berskala besar dengan menegaskan tiada bukti menunjukkan itu pernah berlaku sebelumnya, atau akan berlaku kali ini.

“Saya nasihatkan Trump berhenti merengek dan menumpukan pada kempennya,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 5:44 AM