Kong Soon menunjukkan mesin simulator judi yang dirampas. FOTO Farah Suhaidah Othman
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my

 

Kampar: Polis rampas 112 mesin perjudian simulator dan tahan 16 individu termasuk 12 warga asing disyaki penjaga premis dalam dua serbuan di Desa Lawan Kuda dan Mambang Diawan, di sini, pada 7 dan 14 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, polis turut berjaya merampas wang tunai berjumlah RM18,284 dalam kedua-dua serbuan itu dan jumlah rampasan termasuk mesin perjudian simulator dianggarkan berjumlah RM50,000.

Menurutnya, dalam serbuan pertama jam 8.15 malam di sebuah premis di Desa Lawan Kuda di sini pada 7 Oktober lalu, polis berjaya merampas 39 mesin judi bersama wang tunai RM6,820 dan menahan lima individu termasuk tiga warga asing iaitu dua lelaki Bangladesh dan seorang wanita Thailand.

"Serbuan kedua pada jam 3.30 petang di sebuah premis di Jalan Aman, Mambang Diawan pada 14 Oktober lalu pula, sebanyak 73 mesin judi simulator dirampas serta wang tunai berjumlah RM11,464 dan menahan sembilan warga Bangladesh serta dua lelaki tempatan berusia 19 dan 42 tahun.

"Polis turut menahan 21 pelanggan pada serbuan pertama dan 59 pelanggan pada serbuan kedua sebelum dibebaskan dengan jaminan polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, hari ini.

Kong Soon berkata, kesemua yang ditahandireman selama dua hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Menurutnya, kesemua warga asing yang ditahan turut direman selama 14 hari mengikut Seksyen 4A Akta Imigresen 1959.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 3:38 PM
Skip this ad x