Oleh Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my


Saat disahkan hamil sememangnya antara detik paling meng­gembirakan bagi wanita bergelar isteri.

Kalau boleh, semua yang terbaik ingin diberikan kepada si kecil yang bakal lahir biarpun kadangkala ada yang sukar untuk direalisasikan.

Sepanjang proses kehamilan, lazimnya bakal ibu yang lebih 'menderita' dari segi fizikal dan mental berbanding suami.

Alahan pada awal kehamilan dan perubahan emosi antara perkara yang mengganggu ritma harian si bakal ibu. Ia disusuli penambahan berat badan mendadak hingga menyukarkan pergerakan sebelum fasa terakhir kehamilan, menyaksikan bakal ibu bergelut dengan kontraksi terutama beberapa hari sebelum tarikh bersalin.

Begitu juga dalam pemilihan pakaian. Kebanyakan bakal ibu berdepan dilema dalam menggayakan busana dek perubahan yang berlaku pada tubuh mereka.

Lambakan pakaian untuk wanita hamil di pasaran sedikit sebanyak membantu namun ia lebih bersifat praktikal dengan mengenepikan gaya.

Bagaimanapun, Nurita Harith cuba lari daripada kebiasaan dengan menghasilkan rekaan yang bukan saja menarik, malah praktikal serta mudah disuai padan selepas bersalin.

Koleksi istimewa bersama Modernmum itu menyaksikan Nurita bereksperimen dengan palet warna biru elektrik, kuning, putih dan merah, selain rona pastel yang menjadi kegemarannya.

Gaun labuh, blaus, skirt dan jaket tampak seimbang dengan siluet feminin yang disifatkan padanan sesuai untuk bakal ibu moden.

Sememangnya Nurita amat dikenali dengan teknik 'draping' pada setiap hasil kerjanya. Biar seringkas manapun rekaannya, perlu ada kesan draping pada busana itu.

Koleksi Nurita Harith for Modernmum ini tidak terkecuali apabila pereka berusia 31 tahun itu menitipkan tanda pengenalannya sebagai perincian pada busana terbabit.

"Saya tertarik dengan tekstur dan alunan feminin yang dihasilkan daripada kesan draping itu. Ia membuatkan potongan satu-satu busana itu tampak lebih anggun dan menarik.

"Saya sering mencabar diri dengan menghasilkan sesuatu yang baru, tidak kira dari segi pemilihan warna, penggunaan fabrik dan siluet yang ingin ditampilkan.

"Justeru, ini cabaran pertama saya dalam menyediakan koleksi untuk wanita hamil apabila saya perlu mencari keseimbangan antara praktikaliti dan gaya.

"Setiap rekaan dalam koleksi ini membolehkan wanita hamil menggayakannya begitu saja atau dihiasi aksesori seperti tali pinggang.

"Saya juga terarah kepada palet rona pastel dan lembut, tapi sesekali saya beranikan diri mencuba sesuatu di luar zon selesa saya seperti apa yang saya lakukan menerusi koleksi bersama Modernmum ini," katanya.

Daripada apa yang dipamerkan, Nurita juga tampak gemar bermain dengan elemen polos yang disusuli rekaan minimal.

Apa yang pasti, Nurita mahu setiap wanita hamil yang mengenakan busana­nya tampil elegan, chic dan penuh keyakinan.

"Saya mahu mereka bergaya dengan selesa. Busana hamil yang sesuai dan menarik bukan hanya membantu mereka tampil lebih menarik, malah melangkah lebih yakin," ujarnya.

Koleksi ini boleh didapati di cawangan Modernmum di Midvalley Megamall, Sogo, Alamanda Putrajaya, 1 Utama, dan Sunway Pyramid selain di Jalan Telawi, Bangsar, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:00 AM