MAYAT mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Fauziah. FOTO Eizairi Shamsudin
Hafizudin Mohd Safar
am@hmetro.com.my


Kangar: Mayat remaja lelaki yang lemas selepas bot yang dinaikinya terbalik akibat dibadai ribut dan ombak kuat ketika keluar menangkap udang di persisir pantai Kampung Padang Keria, Sanglang, di sini, semalam ditemui, 10 pagi tadi.

Mangsa, Abdul Shakair Abd Rahman, 18, ditemui terapung di perairan Kuala Sanglang oleh pasukan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Kedah.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, mangsa yang ditemui kemudiannya dibawa ke Jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Perlis sebelum disahkan identiti oleh keluarganya.

"Mangsa ditemui oleh pasukan APMM Kedah terapung secara terlentang kira-kira satu batu nautika dari Kuala Sanglang dan kira-kira lima batu nautika ke selatan pantai Kampung Padang Keria lokasi mangsa dilaporkan hilang.

"Mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk dibedah siasat," katanya.

Wari berkata, keseluruhan operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), APMM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta penduduk tempatan termasuk nelayan di kawasan berdekatan selain pencarian menggunakan khidmat Unit Udara PDRM dan juga alatan drone sejak semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 1:56 PM