SEBUAH kereta kebal Iraq bergerak menuju ke bandar Mosul, semalam. - AP
AFP

Qayyarah, Iraq: Ribuan tentera Iraq semakin menghampiri Mosul semalam selepas melancarkan serangan besar-besaran bagi menawan semula bandar itu daripada kumpulan militan Daish.

Dalam pertempuran penting yang masuk hari kedua itu, komander Iraq memberitahu, kemajuan dicapai apabila askar mara melepasi dua barisan hadapan menuju ke bandar itu.

Konvoi kenderaan perisai mara sepanjang dataran gersang berpasir sekeliling Mosul dan askar memasuki beberapa kampung yang dipertahankan kumpulan kecil militan selepas serangan udara dilancarkan.

Komander Iraq berkata, militan Daish membalas dengan serangan bom kereta berani mati tetapi kemaraan askar kerajaan diteruskan seperti yang dirancang.

“Banyak kampung dibebaskan. Askar Iraq sudah mencapai kejayaan melebihi sasaran tetapi kami masih berhati-hati dengan mengikut perancangan dan tidak terburu-buru,” kata jurucakap perkhidmatan antipengganas, Sabah al-Numan.

Kepulan asap tebal dari beberapa perigi minyak berhampiran pangkalan tentera Iraq di Qayyarah menyelubungi kaki langit menyebabkan langit bertukar kelabu sejauh beberapa puluh kilometer.

Seorang askar memberitahu, militan sengaja membakar perigi minyak itu sebagai perlindungan daripada serangan udara sebelum bandar itu ditawan semula tentera kerajaan pada Ogos lalu.

Sejak itu kebakaran berkenaan tidak pernah dapat dipadamkan.

Serangan membabitkan kira-kira 30,000 askar kerajaan dilancarkan pada Isnin lalu adalah operasi terbesar tentera Iraq sejak tentera AS berundur pada 2011.

Mosul adalah bandar utama terakhir dikuasai Daish di Iraq dan kejayaan menawan bandar itu menandakan tumbangnya kerajaan khalifah yang diumumkan kumpulan berkenaan dua tahun lalu selepas menawan sebahagian besar Iraq dan Syria.

Selain Mosul, Daish kini hanya menguasai bandar Raqa di Syria.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 6:06 AM