GAMBAR hiasan
Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my


Kuala Lumpur : Tiga termasuk seorang kakitangan Pejabat Tanah dan Daerah Temerloh ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana melindungi kegiatan curi pasir di sekitar Sungai Pahang.

Sumber SPRM berkata, ketiga-tiga lelaki berusia antara 45 hingga 55 tahun ditahan antara 3 petang semalam hingga 12 malam tadi dalam operasi bersepadu yang diketuai SPRM Pasukan Tindakan Khas Jabatan Pengangkutan Jalan Putrajaya dan Pejabat Tanah dan Galian Pahang di sekitar Temerloh, Pahang.

Menurut sumber, kakitangan awam itu dipercayai menerima rasuah RM8,500 sebulan bagi melindungi kegiatan ini daripada dua pengusaha pasir terbesar di Temerloh.

Katanya, dua lagi suspek yang ditangkap adalah penyelia syarikat pasir dan pemandu lori yang menawarkan rasuah sebanyak RM500 bagi melepaskan enam lori yang ditahan SPRM semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhajaya SPRM, Datuk Azam Baki,ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 7:32 PM