GAMBAR hiasan
Khairul Najib Asarullah Khan

Seremban: Seramai 45,000 pengguna di daerah ini dan Port Dickson terjejas berikutan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi di Kuala Sawah, Seremban akibat berlaku percemaran bau bermula 1 tengah hari tadi.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), Norzita Ismail berkata, penutupan itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan penduduk di Port Dickson dan Rantau, Seremban semalam.

Beliau berkata, berikutan itu, 33,000 pengguna di Port Dickson dan 12,000 di Seremban mengalami gangguan bekalan air dan dijangka pulih 8 malam ini.

"Penutupan LRA Sungai Linggi bertujuan mengenal pasti punca masalah sama ada di LRA atau sumber air mentah dari Sungai LInggi.

"Antara kawasan terjejas di Port Dickson adalah Estet Escort hingga Tampin Linggi, Batu 4 Jalan Pantai hingga Simpang Siliau serta antara Simpang Bukit Palong hingga Bukit Pelandok dan Chuah.

"Manakala di Seremban membabitkan Taman Pinggiran Senawang hingga Kampung Sungai Sendayan dan Nusari Bayu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 7:06 PM